Bajet 2020: Tambah baik kebajikan tentera

KANGAR: Persatuan Veteran Angkatan Tentera Tidak Berpencen Malaysia (PVATTBM) menuntut pihak kerajaan menambah baik kebajikan terhadap bekas tentera tersebut dalam pembentangan Bajet 2020 yang akan dibentangkan tidak lama lagi.

Advertisement

Presiden PVATTBM, Ismail Abidin memohon supaya bajet bagi jabatan hal ehwal veteran dinaikkan terutamanya mengenai wang sara hidup, pemberian ‘one off’ dan kos baik pulih rumah dan rumah baru.

Beliau mencadangkan supaya bajet itu ditambah dan bantu dinaikkan elaun sara hidup dari RM300 kepada RM500 kepada veteran-veteran yang layak mengenangkan khidmat mereka terutama yang berkhidmat di zaman komunis dahulu.

“Mereka ini, ada yang patah kaki, ada yang mata buta dan putus tangan. Di atas pengorbanan mereka itu, kerajaan hendaklah mengkaji dan meneliti kedudukan mereka yang mana kebanyakan mereka sudah tidak boleh menjalankan kerja-kerja harian untuk mendapatkan pendapatan.

“Ada di kalangan veteran yang terpaksa menjadi gelandangan begitu juga dengan pemberian ‘one off’ yang diberikan setiap tahun,” katanya pada sidang media di pejabat PVATTBM, semalam

Menurutnya, jika kerajaan sebelum ini boleh memberi sehingga RM1,000 kepada semua veteran tentera tetapi pada tahun lepas hanya dibayar RM500 sahaja.

“Jadi saya mencadangkan pemberian ‘one off’ ini dibayar kepada semua veteran tidak berpencen berjumlah seramai 250,000 orang sebagai mengenangkan jasa mereka, dan dinaikkan kepada kepada RM1,500 kepada setiap orang dan berterusan setiap tahun.

“Begitu juga kepada mereka yang tiada rumah, jika kerajaan sebelum ini bantuan baik pulih rumah dan pembinaan rumah baru telah diberikan kepada veteran tentera yang layak.

“Ramai di kalangan mereka yang terpaksa menumpang di rumah saudara mara malah ada yang berkongsi tempat tinggal dengan pekerja asing,” ujarnya lagi.

Antara lain beliau mempersoalkan ke mana perginya potongan 10 peratus kepada Lembaga Tabung Angkatan Tentara (LTAT) yang dikenakan kepada setiap tentera apabila mereka mula bertugas.

“Jika dulu hanya lain-lain pangkat sahaja yang dipotong 10 peratus, tetapi kini semua pegawai pun wajib dipotong 10 peratus.

“Jika diikutkan, duit memang banyak tetapi ke manakah menghilang duit yang dipotong tersebut.

“Kita tak nak duit itu diseleweng, jadi kami yang kena potong 10 peratus tiap-tiap bulan ni tidak dapat pun merasai ganjaran yang sepatutnya diberikan,” tegasnya lagi.

Skim Caruman Wajib LTAT ke atas Pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mula berkuatkuasa pada 1 Januari 2016 bagi membolehkan Caruman Wajib dilaksanakan ke atas Pegawai Angkatan Tetap ATM yang ditauliah dengan kadar potongan caruman sebanyak 10 peratus dari gaji bulanan pegawai.

Manakala kadar caruman kerajaan sebanyak 15 peratus secara nasional dari gaji bulanan pegawai.

Caruman ahli dan caruman kerajaan akan terhenti apabila perkhidmatan pegawai genap 25 tahun.– HARAKAHDAILY 8/10/2019