Hidupkan semula resolusi Majlis Keselamatan 1948

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang meminta Malaysia mendesak masyarakat antarabangsa supaya menghidupkan semula resolusi Majlis Keselamatan 1948.

Advertisement

Katanya, resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 1948 dan syarat-syarat kemerdekaan India dan Pakistan adalah dibuat secara demokratik.

Malangnya, kata beliau sering kali berlaku berat sebelah dalam keputusan yang dibuat.

“Masyarakat antarabangsa begitu mudah dalam isu Timor Timur, selatan Sudan, tetapi kenapa susah sangat dalam isu Kashmir, Palestin dan Rohingya dalam menegakkan keadilan.

“Semua kita tidak boleh berkecuali dan tidak boleh dinilai dengan kepentingan perdagangan dan sebagainya kerana ini melibatkan hak asasi manusia,” katanya yang juga Ahli Parlimen Marang ketika membangkitkan soalan tambahan kepada Menteri Luar Negeri semasa sesi pertanyaan jawab lisan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Katanya, Malaysia perlu memanfaatkan hubungan baik dengan India dan Pakistan supaya menjadi orang tengah dalam mengelakkan berlakunya krisis hebat khususnya penggunaan kuasa nuklear yang boleh mengancam keselamatan kedua-dua negara itu.

“Kita boleh mendesak masyarakat antarabangsa supaya menghidupkan semula resolusi Majlis Keselamatan PBB 1948, itu sekurang-kurangnya,” desaknya.

Tuan Guru Abdul Hadi dalam soalan asal meminta Menteri Luar Negeri menyatakan apakah tindakan Malaysia dalam kerangka Dasar Luar Malaysia Baharu untuk menyelesaikan konflik Kashmir.

Menjawab hal berikut, Menteri Luar Negeri, Dato’ Saifuddin Abdullah berkata, Perdana Menteri Malaysia telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri India bagi memujuk supaya tidak berlaku keadaan yang lebih tegang bagi kedua-dua negara.

Jelasnya, Majlis keselamatan PBB juga pada 16 Ogos telah mengadakan konsultasi secara tertutup untuk membincangkan isu Kashmir.

Dalam masa yang sama, mesyuarat Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada 25 Septemer lalu telah membuat ketetapan tegas dengan mengemukakan tiga ketegasan.

Antaranya, pertama; supaya India menarik balik pembatalan artikel 370 yang telah menimbulkan masalah, kedua; supaya India memansuhkan undang-undang darurat yang sedang dilaksanakan hari ini dan ketiga; supaya India memansuhkan undang-undang darurat. – HARAKAHDAILY 8/10/2019