Melayu di sekitar Stadium Melawati

PADA hari Ahad, 6 Oktober 2019, berlangsung Kongres Maruah Melayu di Stadium Melawati, Shah Alam. Di dalam kongres tersebut, Tun Dr Mahathir Mohamad telah menyampaikan amanatnya.

Advertisement

Kongres tersebut diadakan pada hari Ahad,  di mana ada Pasar Pagi di tempat letak kereta Stadium Shah Alam. Peniaga-peniaga di Pasar Pagi ini hampir seluruhnya kaum Melayu, datang dari pelbagai tempat yang tidak dekat.

Peniaga-peniaga Melayu ini telah sampai untuk berniaga sebelum waktu subuh lagi berbanding dengan Tun Dr Mahathir yang sampai sekitar 11.00 pagi. Sebenarnya ramai lagi peniaga Melayu mencari-cari peluang memasarkan barangan mereka.

Mereka yang berniaga di Pasar Pagi ada yang datang dari Negeri Sembilan, Sabak Bernam dan seumpamanya. Kalaulah mereka sampai ke Shah Alam sebelum subuh, bermakna mereka keluar dari rumah mereka mungkin pukul 3.00 atau 4.00 pagi.

Di premis-premis perniagaan berhampiran stadium pula ada makcik-makcik Melayu berniaga kerepek menjinjing plastik besar berisi kerepek-kerepek. Mereka akan berjumpa setiap orang yang ada di situ supaya membeli kerepek mereka.

Sepanjang jalan pejalan kaki menuju ke Stadium Melawati ada pula peniaga-peniaga Melayu mengguna food truck untuk menjual barang makanan. Pelbagai makanan dan minuman yang mereka proses sendiri dijual dari food truck ini.

Berhampiran lampu isyarat menuju Lebuhraya Guthrie ada anak-anak muda Melayu memasarkan produk jeruk mangga asam boi. Mereka menggantungkan kad besar di dada mereka menjual barangan itu kepada pemandu-pemandu yang berhenti.

Di tangga-tangga naik menuju ke Stadium Melawati, ramai pula anak-anak muda Melayu yang buka meja menjual pelbagai barangan berkaitan dengan kongres seperti baju, tanjak, button, buku dan lain-lain.

Tun Dr Mahathir mungkin tidak melalui jalan-jalan ini menuju ke stadium. Tun Dr Mahathir boleh jadi tidak mengetahui bagaimana orang Melayu bukanlah seperti yang beliau sebut dalam amanatnya.

Oleh:
DR MOHD ZUHDI MARZUKI
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat – HARAKAHDAILY 8/10/2019