Islam VS Kapitalis: Pentingnya kuasa politik

ISLAM adalah sistem yang lengkap

Apabila bertanya mengenai apa yang boleh difahami dengan perkataan Islam, kita akan faham ia bermaksud kepatuhan terhadap ketetapan Allah S.W.T atau penyerahan diri. Apabila dihuraikan dari segi aturan-aturan Islam, kita akan faham bahawa Islam adalah sebuah sistem yang lengkap, seimbang dan mencakupi semua aspek. Selaras dengan firman Allah S.W.T:

ٱلۡیَوۡمَ أَكۡمَلۡتُ لَكُمۡ دِینَكُمۡ وَأَتۡمَمۡتُ عَلَیۡكُمۡ نِعۡمَتِی وَرَضِیتُ لَكُمُ ٱلۡإِسۡلَـٰمَ دِینࣰاۚ

“Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu.”

(al-Maidah: 3)

Banyak lagi huraian yang telah dinyatakan oleh para Ulamak mengenai “Islam”. Boleh rujuk kitab Usul Dakwah karangan Dr Abdul Karim Zaidan. Apabila kita memperkatakan bahawa Islam adalah agama yang lengkap, maka saya berpendapat huraian Imam Hassan al-Banna agak sesuai untuk diteliti sesuai dengan ketebalan pemikiran Sekularism yang sedang menutup minda manusia hari ini.

Imam Hassan al-Banna menyatakan,

الإســلام نـظـام شــامـل يـتـنـاول مـظـاهـر الـحـيـاة جـمـيـعـا فـهـو دولـة و وطـن أو حـكـومـة و أمـة وهـو خـلـق و قـوة أو رحـمـة و عـدالـة وهـو ثـقـافـة و قـانـون أو عـلـم و قـضـاء وهـو مـادة و ثــروة أو كسـب و غــنـى وهـو جـهـاد و دعـوة أو جـيـش و فـكـرة كـما هـو عـقـيـدة صـادقــة و عـبـادة صـحـيحـة سـواء بسـواء

“Islam adalah sistem lengkap yang merangkumi keseluruhan aspek kehidupan. Islam adalah daulah dan tanah air atau kerajaan dan ummah. Akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan. Kebudayaan dan undang-undang atau ilmu dan kehakiman. Kebendaan dan harta atau usaha dan kekayaan. Jihad dan dakwah atau tentera dan fikrah. Sebagaimana Islam itu adalah aqidah yang benar dan ibadah yang sohih.”

Secara ringkasnya kita boleh faham bahawa Islam itu adalah sebuah sistem yang mengatur kehidupan manusia supaya hidup bersistem dengan sistem yang betul dan lengkap. Sudah pasti sistem ini mampu menyelesaikan permasalahan manusia, bahkan ia telahpun dibuktikan sepanjang zaman.

Islam dan sistem berfikir Ahli Falsafah Yunani menolak Sophisme

Falsafah mula disusun di zaman Tamadun Greece, Yunan. Mula dicetuskan oleh Thalis Multi (600 SM) kemudian mula berkembang di era Socrates (470-399 SM). Antara anak murid beliau ialah Plato (427-347 SM), telah menerbitkan manhaj Socrates dalam berfalsafah. Socrates mati diracun, setelah didapati bersalah oleh Mahkamah Athens kerana tidak beriman dan merosakkan pemikiran anak-anak muda.

Sebelum dijatuhkan hukuman, beliau diberi kata dua, sama ada dibuang negeri, atau meminum racun. Beliau memilih minum racun kerana buang negeri itu menampakkan beliau bersalah. Walau bagaimanapun ketegasannya berprinsip mempertahankan manhaj pemikirannya perlu diberi perhatian. Socrates masyhur dengan manhaj persoalan.

Iaitu menimbulkan keraguan demi keraguan bagi memperoleh keyakinan. Berbeza dengan golongan Sophisme yang juga wujud di zaman Socrates. Golongan ini menimbulkan keraguan demi keraguan untuk terus meragukan sesuatu. Pendekatan Socrates membuatkan golongan Sophisme semakin ditolak, menyebabkan beliau dianggap sebagai ancaman.

Antara yang ditanya oleh Socrates ialah mengenai “Patutkah tuhan itu sama seperti manusia”, “Apa tujuan manusia hidup dunia”, “Apa asal-usul manusia dan alam”, “Apa erti kebahagiaan yang sebenar”, dan banyak lagi. Lontaran-lontaran ini supaya anak-anak muda di zaman itu menjana akal mereka untuk berfikir. Apabila kita mengkaji soalan-soalan Socrates, kita akan dapati semua jawapannya terdapat di dalam al-Quran

Seolah-olah al-Quran sedang menjawab persoalan-persoalan ahli Falsafah Greece walaupun ketika itu al-Quran belum diturunkan. Iaitu hampir 1000 tahun sebelum kelahiran Baginda S.A.W. Allah S.W.T menjawab mengenai tujuan manusia dihidupkan di dalam Surah az-Zariyat 56, asal-usul manusia dan alam di dalam Surah al-Anbiya 30, dan erti kebahagiaan di dalam Surah at Taghabun 11.

Bahkan kesimpulan yang pernah dibuat oleh Socrates sendiri yang tercatat di dalam sejarah antaranya “Kehidupan itu bermula dari air”, dan “Tidak mungkin pencipta alam itu dari kalangan alam juga” selaras dengan firman Allah S.W.T di dalam Surah asy Syura ayat 11. Justeru, Islam menyediakan sistem berfikir, dan melarang manusia berfikiran semberono atau berfikiran sempit sepertimana generasi terdahulu yang hanya bertaqlid lalu menjadi sesat [1].

Sistem Perundangan Islam di Era Napoleon Bonaparte

Jika kita ingin melihat satu persatu sistem Islam, kita perlu menggeledah jutaan karya-karya cendikiawan Islam, yang sebahagian besarnya telah pun dijahanamkan oleh tentera Mongol pada 1256-1258 ketika kejatuhan Abbasiah. Namun segalanya ada hikmah. Islam terus hidup sebagai sebuah agama yang lengkap. Khususnya kita boleh lihat penjajahan Mesir di akhir Kurun ke-17, oleh Napoleon Bonaparte.

Dikatakan beliau adalah tokoh yang hebat dalam menyusun undang-undang, yang dikenali sebagai Kod Napoleon (Code Civil Des Francais) yang diterbitkan pada 1804. Apabila dikaji dan diteliti, rupa-rupanya undang-undang yang serba lengkap dan hebat itu telah disusun oleh para Ulamak di Mesir sebelum itu. Ketika Napoleon menguasai Mesir pada 1798-1801 beliau mengambil kesempatan untuk menyusun undang-undang, dengan menjemput para cendikiawan Mesir untuk hadir dan merangka sebuah undang-undang.

Para Ulamak ketika itu menyusun undang-undang mengikut laras Mazhab Hanafi. Setelah siap disusun dan diisytiharkan, dunia mengiktiraf undang-undang tersebut sangat hebat. Napoleon pula yang dapat nama. Antara yang diceritakan oleh Robert B. Holtman, di dalam bukunya, The Napoleonic Revolution, antara yang terkandung dalam Kod Napoleon ialah menolak unsur pengkastaan melalui kelahiran, memberi kebebasan beragama, dan jawatan mesti diberikan kepada mereka yang berkelayakan.

Sehingga hari ini Kod Napoleon dianggap undang-undang yang hebat dan luar biasa kerana sangat seimbang dalam segenap aspek kehidupan masyarakat. Ia dianggap sebagai Undang-undang Sivil pertama yang berjaya dan banyak memberi kesan terhadap perundangan di banyak negara termasuk di Asia Tenggara. Napoleon Bonaparte yang datangnya dari Perancis, mara dengan semangat kebangkitan Tamadun (Reinassance). [2].

Sistem agihan hasil negara cara Islam yang menolak Kapitalis

Di seluruh dunia hari ini, kita boleh lihat bagaimana berlakunya krisis penindasan terhadap hak-hak rakyat. Apabila kita melihat di negara-negara miskin, rakyatnya tiada rumah, hidup merempat, kebuluran dan sebagainya. Tetapi yang peliknya, pemerintah mereka dan kroni-kroninya, hidup bermewah-mewahan dan memiliki kekayaan luar biasa. Sudah pastinya berlaku kecelaruan dalam sistem agihan sumber negara.

Kaedah agihan sumber negara ini disebutkan di dalam al-Quran:

مَّاۤ أَفَاۤءَ ٱللَّهُ عَلَىٰ رَسُولِهِۦ مِنۡ أَهۡلِ ٱلۡقُرَىٰ فَلِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِی ٱلۡقُرۡبَىٰ وَٱلۡیَتَـٰمَىٰ وَٱلۡمَسَـٰكِینِ وَٱبۡنِ ٱلسَّبِیلِ كَیۡ لَا یَكُونَ دُولَةَۢ بَیۡنَ ٱلۡأَغۡنِیَاۤءِ مِنكُمۡۚ

“Apa yang Allah kurniakan kepada RasulNya (Muhammad) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah, dan bagi kaum kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang keputusan). (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu.”

(al-Hasyr: 7)

Ayat ini sangat jelas menunjukkan bahawa hasil negara perlu diagihkan kepada rakyat dengan cara yang seimbang. Tujuannya supaya kekayaan hasil negara tidak dimonopoli atau dibolot oleh golongan-golongan tertentu sahaja. Apabila hasil negara dibolot oleh mereka sehingga memiliki kekayaan yang luar biasa jauh melebihi keperluan dan kehendaknya, menyebabkan rakyat lain akan tertindas.

Hal ini telah saya huraikan dalam artikel lalu [3] mengenai percukaian yang wujud di Malaysia sehingga menjerut leher rakyat biasa. Di Malaysia, pelbagai jenis cukai diambil daripada rakyat, dan hasil hasil kutipan ini disimpan dalam Simpanan Korporat atau Saham Korporat. Simpanan atau Saham Korporat ini akan memberi pinjaman kepada golongan korporat untuk menjayakan lagi perniagaannya dalam skala yang lebih besar.

Semakin besar modal yang dipinjam, semakin berlipat-lipat keuntungan yang diperolehi oleh golongan korporat ini. Selama ini Simpanan atau Saham Korporat ini tidak dikenakan cukai. Menyebabkan orang korporat yang kaya akan terus kaya, manakala rakyat terus miskin dan dibebankan dengan cukai. Sepatutnya cukai dikenakan kepada Simpanan atau Saham Korporat selaras dengan sistem Islam yang disebut dalam ayat al-Quran di atas, bukannya memeras wang rakyat.

Sistem pengurusan tanah cara Islam menolak monopoli

Selain Sistem Agihan Harta Negara, Islam menyediakan sistem pengurusan tanah. sekiranya kita bersandar pada rasional, kita akan dapati semakin hari tanah semakin “tidak cukup”. Seorang bapa dan ibu, akan lahirkan 7 anak contohnya. Bukankah bilangan itu bertambah? Justeru rasional akan mengatakan bahawa bumi semakin hari semakin sempit. Tetapi sekiranya kita bersandar kepada sistem Islam, kita akan dapati ia mampu menyelesaikan masalah ini.

Antaranya Islam melarang penguasaan terhadap tanah. Sesiapa sahaja berhak membuka tanah dan kerajaan wajib memudahkan urusan pemilikan tanah kepada warganegara. Dalam masa yang sama, Islam meletakkan sistem agihan harta pusaka antaranya tanah. Peratusan agihan harta pusaka yang begitu terperinci disebabkan betapa sistem itu penting. Tidak boleh diagih secara semberono.

Dalam masa yang sama, Islam mengatakan bahawa Allah S.W.T itulah yang menyusun sistem, dan Dia jualah yang berkuasa menghidup dan mematikan. Katakan apabila tanah semakin penuh, maka Allah S.W.T akan menarik nyawa sebilangan manusia menjadikan bilangannya sentiasa seimbang. Dalam masa yang sama, kita yakin bahawa ciptaan Allah S.W.T sangat lengkap, tiada cacat. Sekiranya terdapat kecacatan dalam ciptaanNya seperti oksigen tidak mencukupi, sudah pasti bercanggah dengan sifat Maha Mengetahui Allah S.W.T.

Cumanya hari ini kita merasa seperti keperluan-keperluan kita tidak mencukupi. Ini kerana terdapatnya campur tangan manusia terhadap sistem aturan Allah. Contohnya kita merasa tak cukup oksigen kerana jerebu yang berpunca daripada tangan manusia. Kita merasa tak cukup air kerana berlakunya peperangan merebut air seperti isu di Bukit Golan. Kita merasa tak cukup tanah kerana ada campur tangan ahli politik yang sengaja melambat-lambatkan kelulusan tanah atau ada kepentingan untuk mengkayakan pemaju.

Sebab itulah di dalam al-Quran Allah S.W.T menceritakan betapa hebat alam ciptaanNya seperti di dalam Surah al Baqarah 164. Tetapi dalam masa yang sama Allah S.W.T  menceritakan juga kerosakan yang disebabkan oleh tangan manusia:

ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ فِی ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَیۡدِی ٱلنَّاسِ لِیُذِیقَهُم بَعۡضَ ٱلَّذِی عَمِلُوا۟ لَعَلَّهُمۡ یَرۡجِعُونَ

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”

(Rum: 41)

Sekiranya kita melihat kebanyakan ta’wilan dalam Ilmu Balaghah bagi “tangan”  bermaksud kekuasaan. Tindakan manusia dengan tangan itu bukan hanya semata-mata tangan, kerana tangan yang kosong tak mampu untuk “mengkarate” Bukit Batu. Tetapi memerlukan penguasaan terhadap peralatan. Begitu juga mereka yang melakukan kerosakan, pastinya orang itu berkuasa dari segi peralatan, kuasa politik, kemampuan material dan sebagainya.

Inilah sepertimana yang dinukilkan oleh Ibn Abbas di dalam Tafsir al-Qurtubi, bahawa “kerosakan” itu bermaksud kesempitan hidup. Lihat juga sambungan ayat “Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan”. Para mufassir banyak menafsirkan dengan perkataan “maksiat yang dilakukan oleh manusia”, dan ia juga berkaitan dengan perbuatan yang bersangkutan dengan kuasa.

Sistem percukaian yang merembat duit rakyat secara paksa

Sistem yang diaturkan oleh manusia pada hari ini banyak melanggar sistem aturan Allah S.W.T. Mengubah sistem ini berkaitan dengan kuasa politik. Kerana mereka yang diberi kuasa politik, berkuasa mengubah sistem. Dalam konteks kenegaraan, sistem dipanggil sebagai undang-undang, perlembagaan, dan akta. Manusia yang bebas melakukan maksiat sudah pasti “tiada sistem” yang melarangnya.

Kalau ada sekalipun, sistem itu tidak dilaksanakan oleh mereka yang dipertanggungjawabkan. Ini kerana, orang-orang yang tidak bertanggungjawab melaksanakan sistem ini, dilantik oleh pemerintah yang tiada kelayakan. Seseorang yang tidak layak, boleh jadi pemerintah atas sebab masalah dari segi sistem pelantikan pemerintah negara. Sebab itulah Islam juga telah menyediakan sistem pelantikan pemerintah.

Sekiranya kita benar-benar mengimplementasi sistem Islam dalam pelantikan pemerintah, sudah pasti mereka yang tidak layak, tidak akan dilantik. Perkara ini telah dihuraikan dengan panjang antaranya di dalam kitab Ahkam Sultoniah karangan Imam Mawardi. Apabila naiknya pemerintah yang jahat dengan laluan sistem demokrasi buatan manusia, pemerintah itu pastinya akan menggazetkan undang undang yang menindas.

Kita boleh lihat percukaian sebagai contoh. Dahulunya di zaman BN menggunakan SST. Kemudian berubah menjadi GST. PH menang PRU 14 mereka kembalikan SST dan hari ini berhasrat mengembalikan semula GST. Sedangkan, pusinglah bagaimana pun GST ataupun SST kedua duanya adalah sistem percukaian yang diharamkan di dalam Islam kerana mengepau duit golongan bawahan untuk disalurkan kepada golongan korporat yang sudah tersedia kaya.

Keperluan terlibat dalam politik untuk mengubah sistem

Contoh yang dikemukakan oleh PAS melalui Dokumen Hijau, cukai kenderaan termasuk semua Duti Import, Cukai Eksais dan lain lain sekitar 60 peratus daripada harga yang dibayar. Katakan seseorang itu membuat pinjaman untuk membeli kereta, bayaran bulanannya ialah RM1000, sedangkan duit kereta hanya RM400 sahaja. Selebihnya RM600 adalah cukai yang akan dilonggokkan dalam Simpanan atau Saham Korporat yang telah saya nyatakan tadi.

Inilah contoh yang saya katakan, Malaysia sekarang berhadapan dengan masalah sistem. Selagi sistem tidak bertukar, selagi itulah penindasan akan berterusan sekalipun bertukar-tukar bendera parti pemerintah. Rakyat marhean siang dan malam berhempas pulas mencari sesuap nasi, mereka dengan selambanya menetapkan cukai dalam makanan, membuatkan bahan keperluan rakyat juga menjadi tabungan kepada kekayaan orang korporat.

Hari ini, ramai sahabat-sahabat yang mula menceburkan diri dalam bidang perniagaan. Macam macam jenis online, fbads, seminar perniagaan, seminar macam-macam dengan kos yang menelan ribuan Ringgit. Masing-masing berusaha meningkatkan daya hidup masing-masing di celah-celah sistem yang menindas. Peniaga-peniaga yang bukan tergolong dalam golongan korporat, seperti terkial-kial mencari pelanggan dan sekupang dua keuntungan.

Dari segi jangkamasa panjang, kuasa beli di kalangan rakyat akan berkurangan, dan peniaga peniaga bukan korporat akan terus mengalami pengurangan jualan, kerana kekayaan kekayaan itu terlonggok di dalam Simpanan atau Saham Korporat. Kekayaan itu sepatutnya dicairkan kepada rakyat, dengan dikenakan cukai kepada Simpanan atau Saham Korporat. Tetapi tidak, rakyat pula yang dipaksa bayar cukai.

Sebab itulah saya sarankan supaya mengubah sistem. Satu-satunya kaedah mengubah sistem ialah dengan menukar pemerintah yang zalim, yang telah menggazetkan sistem yang menindas rakyat bawahan. Selagi kita hanya pandang sebelah mata terhadap keperluan melibatkan diri dengan dunia politik ini, selagi itulah mereka berseronok untuk mengatur sistem sistem agar periuk nasi mereka terus terjaga.

[1] https://www.facebook.com/251201991739948/posts/1158690440991094/

[2] https://www.facebook.com/251201991739948/posts/1192454360948035/

[3] https://www.facebook.com/251201991739948/posts/1199421013584703/ – HARAKAHDAILY 9/10/2019

Advertisement