Pentaksub Utusan boleh intai Harakah

PALING hiba hari ini apabila ada nota pengumuman Utusan menutup operasi. Kelu, tidak terkata-kata dibuatnya.

Advertisement

Pengerusi Eksekutif Utusan Melayu, Dato’ Abdul Aziz Sheikh Fadzir menyebut syarikat itu tidak lagi mampu membayar hutang. Katanya tidak mampu untuk meneruskan perniagaan.

Sedangkan kata beliau beberapa langkah untuk menyelamatkannya sudah dilaksana. Maka katanya, “oleh yang demikian, syarikat akan memberhentikan operasi berkuat kuasa 9 Oktober 2019.”

Sehubungan itu ujarnya lagi, tarikh akhir bekerja tuan/puan ditetapkan Rabu, 9 Oktober 2019. Namun tarikh akhir perkhidmatan pada 31 Oktober 2019.

Sedih, bukan seorang dua yang hilang sumber rezeki. Sedangkan untuk melahirkan seorang wartawan berkeliber bukan sehari dua. Bertahun-tahun mengasah bakat dan menceduk pengalaman.

Lagipun pada November lepas 800 kakitangan Utusan ditawarkan Skim Pemberhentian Sukarela (VSS). Ini bermakna kakitangan yang bertahan sehingga hari ini sekitar 700 orang.

Namun 10 bulan selepas itu rupa-rupanya 700 karyawan terbabit terpaksa mengikut jejak rakan-rakan lama. Tiada lagi Utusan dan Kosmo sebagai spesis akhir Utusan Melayu.

Sebelum ini pun Mastika, Saji dan Wanita tidak ditemui di pasaran. Siapa yang hendak kita persalahkan. Sebuah wadah yang pernah sarat dengan laungan nasionalisme dan seruan agama tidak mampu bertahan menongkah arus.

Seperti kata orang tua-tua, tiada sesiapa pun yang boleh menongkat langit. Hari ini Utusan pergi dalam tangis.

Esok atau lusa mungkin syarikat media lain pula. Tidak terkecuali lagi. Sekarang hanya tinggal Berita Harian, Metro dan Sinar Harian sebagai akhbar mendaulatkan bahasa Melayu.

Harakah dan Suara Keadilan juga berada di kelompok itu. Namun selepas ini detik yang menimpa Utusan bakal menjengah sesiapa sahaja.

Sinar juga menutup kilang di Pantai Timur. Kakitangan ada yang dipindah ke Shah Alam. Harakah juga kehilangan agak ramai karyawan pada 2017.

Muafakat Nasional – Maruah Melayu

Ketika orang Melayu bangkit dengan Muafakat Nasional dan Kongres Maruah Melayu, bahtera yang boleh ditumpang semakin susut.

Sejak akhir alaf ini sudah kedengaran gergasi media menjual aset.  

Utusan dikatakan terpaksa menyelesaikan hutang berjumlah RM230 juta.

Bukan sedikit. Jumlah itu hampir separuh bajet kerajaan Kelantan. Mentadbir sebuah negeri lebih sukar berbanding mengurus sebuah syarikat.

Namun apa yang membezakan mungkin keberkatan. Ada ulama, lebai atau kiyai sering memanjatkan doa.

Apa pun kita berharap masih ada sinar untuk Utusan. Khabarnya 60 kakitangan masih ada peluang. Mungkin ada kaitan apabila Utusan melepaskan 70 peratus pegangan dalam syarikat Dilof Sdn Bhd kepada Aurora Mulia Sdn Bhd.

Aurora Mulia merupakan pemegang saham utama Media Prima Berhad. Ada cakap-cakap kemungkinan akan berlaku gabungan editorial. Kita doakan semoga membuah hasil.

Mungkin juga 60 karyawan itu boleh berhempas pulas mengekalkan Mingguan Malaysia. Maknanya Utusan masih bernyawa, menemui pembaca setiap Ahad.

Tidak perlu lagi beroperasi di pejabat mewah seperti sekarang. Pilihlah rumah kedai setingkat dua bagi mengurangkan beban operasi.

Harakah sejak 1987 beroperasi di bangunan tiga tingkat tanpa lif. Bagi Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) cawangan Utusan apa yang berlaku sekarang kesan kegagalan menghalang akhbar itu daripada dikuasai Umno pada 1961.

Usaha Said Zahari menghalang Umno memiliki Utusan gagal. Kata NUJ kebergantungan akhbar itu kepada parti politik membawa petanda buruk.

Namun, bagi Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa, penamatan operasi Utusan sebagai keputusan perniagaan yang perlu dihormati.

Katanya, tidak perlu perlu bernostalgia sejarah akhbar berkenaan.

Hujah NUJ ada lojiknya. Namun semuanya itu mungkin berbeza kalau Umno dan BN masih menerajui Putrajaya 9 Mei 2018.

Ternyata detik 9 Mei begitu keramat. Ia seakan-akan menyamai 11 Mei 1959, namun gegarannya dalam bentuk emosi.  

Bagi pentaksub Utusan boleh intai-intai Harakah bagi memahami jalur Muafakat Nasional dan Maruah Melayu.

Seperti kata Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah, peminat Utusan boleh mencari Harakah. – HARAKAHDAILY 9/10/2019