Kuala Kangsar Bandar Diraja, menarik dan unik

KUALA Kangsar merupakan sebuah Bandar Diraja, ianya terletak 48 Kilometer dari Bandar Raya Ipoh.

Advertisement

Kuala Kangsar yang berkeluasan 204.94 Kilometer per segi terbahagi kepada sembilan buah mukim iaitu Sungai Siput, Kota Lama Kanan, Kota Lama Kiri, Pulau Kamiri, Ceghar Galah, Senggang, Lubuk Merbau, Kampung Buaya dan Sayong.

Sebagai bandar tertua di Perak, Kuala Kangsar terkenal dengan pelbagai tempat menarik antaranya bangunan lama dan bersejarah seperti Istana Kenangan, Masjid Ubudiah, Bangunan Pavillion, Jambatan Victoria, Kolej Melayu Kuala Kangsar dan lain-lain lagi.

Antara keunikan Kuala Kangsar ialah makanan tradisionalnya iaitu laksa Kuale yang sangat terkenal.

Kebiasaanya, pelancong yang melawati Kuala Kangsar, pasti tidak akan melepaskan peluang untuk menikmati kelazatan Laksa Kuale.

Lebih dari 100 peniaga yang berada di Kuala Kangsar menjadikan ianya sebagai makanan jualan. Laksa Kuale berbeza dengan Laksa Penang atau Laksa Utara dan laksa-laksa lain kerana isinya diperbuat daripada tepung gandum.

Kuahnya yang sangat sedap walaupun tidak sepekat kuah Laksa Utara disebabkan ikan ditumbuk secara tradisi tanpa dikisar menggunakan mesin pengisar. Setiap kali dihirup akan terasa butir-butir isi ikan yang segar diserlahkan rasa daun kesum dan asam pedasnya secukup rasa.

Masih ramai di kalangan pembuat Laksa Kuale ini yang mengekalkan kaedah tradisional dengan menggunakan dapur kayu ketika memasak untuk menaikkan aroma dan keenakan masakan.

Antara Laksa Kuale yang terkenal yang masih mengekalkan penggunaan tepung gandum di Kuala Kangsar ialah Laksa Lubuk, Laksa Kembar, Laksa Taufiq, Laksa Sayong, Laksa Arfan, Laksa Pak Ngah, Laksa Karim dan banyak lagi.

Bagi pelancong yang datang mengunjungi Kuala Kangsar, pasti tidak melepaskan peluang untuk membawa pulang cenderamata.

Kuala Kangsar juga cukup terkenal dengan industri kraftangan seperti labu Sayong, tekat benang emas, barangan perak dan tembaga.

Para pelancong juga boleh melihat sendiri cara labu Sayong dan yang lain ini dibuat dengan mengunjungi perkampungan perusahaan labu Sayong yang berada di Kampung Sayong dan tempat-tempat lain.

Keunikan dan keindahan Bandar Diraja yang tenang ini, pasti memberi kenangan yang terindah kepada setiap pelancong yang mengunjunginya. – HARAKAHDAILY 10/10/2019