Luaskan pelaksanaan ‘mobile food bank’

SAYA telah membahaskan satu Rang Undang-Undang (RUU) Perlindungan Penderma Makanan yang memberi fokus terhadap perlindungan liabiliti sivil kepada penderma makanan khususnya berkaitan dengan program bank makanan (food bank).

Advertisement

Program Bank Makanan yang dilaksanakan oleh kerajaan di bawah kawal selia oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi penekanan terhadap makanan yang didermakan itu mestilah menepati aspek halal, berkualiti dan bersih.

Sewajarnya program sebegini disokong penuh oleh semua pihak supaya dapat meningkatkan akses makanan kepada golongan yang memerlukan.

Selain itu, saya menyambut baik respons Menteri KPDNHEP seperti mana cadangan saya untuk mewujudkan sebuah dapur yang berpusat dengan disediakan kelengkapan yang baik dan mewujudkan bank makanan bergerak (mobile food bank) dalam pengagihan makanan di seluruh negara dengan kerjasama kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) kepada golongan yang benar-benar memerlukannya.

Cadangan ini seharusnya perlu dibawa di peringkat negeri terutama di neger-negeri Pantai Timur untuk menyediakan kemudahan logistik bagi memudahkan pihak menteri memperluaskan program bank makanan ini secara menyeluruh kepada golongan sasar terutama yang tinggal di kawasan luar bandar.

Akhir sekali, harapan saya agar program bank makanan ini berterusan dilaksanakan secara meluas, sistematik dan tersusun agar isu sisa makanan negara kita yang berleluasa setiap tahun dapat dikurangkan dan lebihan makanan dari pelbagai sumber dapat disumbangkan kepada golongan sasar.

“Islam Memimpin Perpaduan”

YB CHE ALIAS HAMID
Ahli Parlimen Kemaman
10 Oktober 2019 | 11 Safar 1441 – HARAKAHDAILY 10/10/2019