Masjid rai atlit dan pelajar berjaya Kg Bkt Lada

MARAN: Pihak Masjid Al-Ansar telah mengiktiraf pencapaian dan kejayaan cemerlang yang diraih anak-anak Kampung Bukit Lada dalam satu majlis khas di masjid ini, di sini malam kelmarin.

Advertisement

Keraian itu adalah luar daripada kebiasaan kerana penghargaan melibatkan pencapaian terutama dalam sukan kebiasaan diberikan oleh kelab belia atau sayap politik, wakil rakyat atau kelab peminat.

Menerima hadiah penghargaan tersebut adalah pasukan bola sepak Kampung Bukit Lada yang telah menjuarai perlawanan 9 sebelah kebangsaan anjuran MAYC di Kuala Kangsar, Perak baru-baru ini.

Turut diberikan pengiktirafan sama adalah mereka yang mengharumkan nama kampung ini di peringkat negeri, bahkan Asean juga, antaranya dua pemain catur wakil negara dan MSSM.

Termasuk juga dirai adalah pelajar PASTI yang meraih juara sajak peringkat negeri di mana sekali gus mewakili Pahang ke peringkat kebangsaan di Johor.

Tidak ketinggalan adalah galakan yang diberi kepada empat anak kampung ini atas kejayaan memperoleh 6A dan 5A dalam peperiksaan UPSR dan seorang meraih 7A dalam SPM tahun lalu.

Semua penyampaian hadiah telah disempurnakan Pengerusi Masjid Al-Ansar, Hasenan Harun dan turut disaksikan Penghulu Bukit Segumpal, Saharil Apindi Ahmad serta wakil MPPK.

“Mungkin kita masih ingat, pada tahun 1970-an, sewaktu kampung-kampung lain belum ada anak-anak masuk universiti, ketika itu anak kampung ini sudah terbang ke Amerika. Beliau pulang sebagai insan cemerlang dan kini bergelar Profesor Emeritus.

“Kita harap, anak-anak kampung yang cemerlang ini tidak hanya berbangga dengan pencapaian mereka. Hendaklah bawa mesej Islam bersama kecemerlangan ini. Contohilah Muhammad Salah.

“Dia bukan sahaja bawa kecemerlangan dalam pasukan Liverpool, bahkan jadi duta Islam di dunia Barat. Ramai orang Barat masuk Islam kerana Muhammad Salah,” ujar beliau.

Sementara itu, Shaharil dalam ulasannya berharap kerjasama Jawatankuasa Masjid Al-Ansar, MPPK dan PIBG Sekolah Kebangsaan Bukit Lada ini menjadi contoh masyarakat setempat.

“Program ini dapat menaikkan semangat anak-anak pelajar untuk lebih cemerlang dalam pelajaran. Diharap juga generasi muda akan terus berkembang dalam minat serta bidang sukan diceburi,” ujarnya.

Majlis diakhiri dengan solat Isyak berjamaah dan jamuan kepada seluruh yang hadir. – HARAKAHDAILY 10/10/2019