Pentingkah wujudkan NFCC ketika ini?

amzad

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional 2019 yang akan mewujudkan penubuhan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional atau National Anti-Financial Crime Center (NFCC) menjadi satu tanda tanya tentang kepentingan penubuhannya.

Advertisement

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, penubuhan pusat tersebut pastinya akan memakan jumlah peruntukan yang besar untuk operasinya selain dikhuatiri akan menyebabkan bajet bagi agensi lain berkurangan.

“Adakah penubuhan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional ini sebagai satu prioriti utama ketika ini? Tidak adakah jalan lain yang boleh dilakukan kerajaan untuk mengatasi hal ini tanpa melibatkan peruntukan kewangan daripada kerajaan dan menjimatkan kos?

“Saya percaya, dengan penubuhan pusat ini, ditambah pula penubuhannya di bawah satu akta, pastinya akan menuntut sejumlah besar peruntukan daripada kerajaan untuk pusat ini menjalankan operasinya. Ini juga dikhuatiri akan mengurangkan bajet bagi agensi-agensi lain yang masih perlu melakukan kerja-kerja siasatan,” ujarnya ketika membahaskan RUU Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional 2019 di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya keberjayaan Pasukan Petugas Khas Pelbagai Agensi sedia ada cukup tanpa memerlukan sebuah pusat siasatan baru.

Katanya, penubuhan pusat baru untuk mengatasi setiap satu jenayah yang berlaku di Malaysia pastinya bukan perkara yang kita inginkan dalam suasana ekonomi Malaysia hari ini memandangkan jenayah jenis ini meningkat selaras dengan jenayah-jenayah lain dan keadaan ini berlaku di seluruh dunia bukan sahaja di Malaysia.

“Jika kerajaan boleh melaksanakan dasar penjimatan dalam hal-hal yang membabitkan kebajikan rakyat seperti pengurangan subsidi petrol, penggabungan UMT dan UNISZA, pemotongan peruntukan kepada universiti awam, pemansuhan skim pencen dan pengecilan jumlah penjawat awam, saya percaya bagi menguruskan jenayah kewangan dalam keadaan kewangan negara yang mendesak ini, kerajaan masih ada pilihan yang tidak melibatkan kewangan,” ujarnya.

Sementara itu, beliau turut mengulas mengenai Pengurusan NFCC yang dilihat seperti ada campur tangan politik apabila Dato’ Seri Haji Mustafar Ali (bekas Ketua Pengarah Jabatan Imigresen) telah pun dilantik awal tahun ini walaupun RUU tersebut sedang dibentangkan sekarang iaitu sembilan bulan setelah pelantikan.

“Suatu hal yang menghairankan adalah apabila RUU ini baru nak dibentang di Dewan Rakyat, tetapi bagaimana Dato’ Seri Haji Mustafar Ali telah mendapat surat pelantikan daripada YAB Perdana Menteri pada 2 Januari 2019?

“Adakah ia sudah menjadi satu kebiasaan juga kepada kerajaan baru menjadikan Parlimen sebagai ‘rubber stamp’ untuk undang-undang yang ingin dibawa kerajaan?” ujarnya lagi.

Justeru itu, sekiranya benar penubuhan NFCC ini penting untuk segera ditubuhkan, beliau menggesa agar penubuhan tersebut benar-benar bebas daripada campur tangan politik atau rakyat akan memandang penubuhan ini sekadar wayang politik untuk menutup jenayah-jenayah kewangan yang dilakukan oleh pemimpin tertinggi negara. – HARAKAHDAILY 10/10/2019