Salahuddin, Mahfuz terus canang tuduhan ketakutan

    TANJUNG PIAI: Skeptikal berterusan PAN yang mendakwa PAS akan menggunakan isu agama dan kaum sebagai senjata PRK P.165 Tanjung Piai menunjukkan mereka hidup dibayangi ‘lembaga hitam’.

    Advertisement

    Tuduhan berulang kali diungkap Timbalan dan Naib Presiden PAN, Dato’ Salahuddin Ayub dan Dato’ Mahfuz Omar itu seolah-olah hal agama dan kaum sudah mati di mana kini menghantui pula mereka.

    Ahli Perhubungan PAS Negeri Johor, Azman Atmin berkata, walhal agama dan kaum adalah agenda perjuangan kedua-dua bekas pimpinan PAS itu dahulu yang akhirnya mereka sendiri tinggalkan.

    Lebih buruk menurutnya, tohmahan Salahuddin dan Mahfuz kini sudah senada dengan para pemimpin DAP, bahkan juga kebanyakan pemimpin di dunia yang menzalimi atau menindas umat Islam.

    Malah tempelaknya, dengan sikap sedemikian, pemimpin PAN tersebut sebenarnya menyerlahkan bahawa perjuangan parti mereka berkaitan agama dan kaum adalah retorik dibarisi slogan semata-mata.

    Tidak keterlaluan juga ujar Azman, mereka sebenarnya sedang membentengi sikap celupar, kurang ajar, biadab dan angkuh pemimpin PH menggugat ancam banyak kepentingan agama dan kaum.

    “Semua pihak tahu, sejak PH memerintah, terlalu banyak pencabulan termasuk ke atas Perlembagaan Negara cuba dilakukan pemimpin PH khususnya berkaitan Islam, hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera, Bahasa Melayu serta Raja-raja Melayu.

    “Hal ini bukan lagi menjadi rahsia. Kebangkitan rakyat khususnya umat Melayu-Islam adalah pengajaran paling jelas untuk Salahuddin dan Mahfuz,” ujarnya merujuk kenyataan dua politikus itu yang disiarkan dalam MalaysiaKini.

    Tindakan mereka juga disifatkan Azman sebagai mencipta alasan kekalahan yang bakal dihadapi sekali lagi komponen PH apatah lagi berdepan gelombang politik kesatuan pembangkang kini.

    Nyatanya juga, pemimpin PAN itu cuba menutup kelemahan yang banyak gagal diselesaikan Kerajaan PH atas kegagalan pemimpin masyarakat mereka berfungsi hingga berlaku pelbagai kepincangan.

    Azman yang juga Pengerusi Pusat Aduan Rakyat Negeri Johor membentangkan antara masalah yang timbul di Tanjung Piai melibatkan nelayan, penoreh getah dan pekebun sawit.

    Begitu juga katanya, jalan-jalan kampung yang berlubang, gangguan binatang liar seperti monyet dan babi memusnahkan tanaman penduduk, pengangkutan awam tidak cekap dan lain-lain lagi.

    Semua itu ujarnya, menimbulkan rasa bosan dan kekecewaan rakyat terhadap ‘harapan’ yang disandar kepada Kerajaan PH setelah pula banyak janji-janji gagal dilangsaikan sebaliknya diberi alasan.

    “Sebagai kerajaan, Salahuddin dan Mahfuz seharusnya mentadbir negara dan negeri ini sebaiknya dengan kuasa yang ada, bukan sentiasa menyalahkan pembangkang,” bidas beliau. – HARAKAHDAILY 10/10/2019