Apa yang berlaku di Kashmir sekarang?

BARU-baru Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Haji Awang membangkitkan soalan di Parlimen mengenai tindakan Malaysia dalam ‘menyelesaikan’ isu Kashmir. Soalan tersebut dijawab oleh Menteri Luar Negeri, Dato’ Saifudin Abdullah yang menyatakan komitmen kerajaan dan tindakan diplomatik Perdana Menteri Malaysia yang telah berunding dengan Perdana Menteri India untuk menyelesaikan konflik. Menariknya, dalam ucapan Tun Dr Mahathir di PBB baru-baru ini juga turut menyelar tindakan India terhadap rakyat Kashmir.

Perkara yang dibangkitkan oleh PM dan Tuan Guru ini sangat penting untuk diketahui oleh semua rakyat Malaysia khususnya umat Islam. Keadaan terkini Kashmir sangat membimbangkan dan perlu perhatian semua pihak untuk memberi tekanan pada India. Penulisan ini akan lebih berfokus mengenai keadaan pasca 67 hari ‘pengurungan Kashmir’.

Krisis apa yang berlaku?

Sebenarnya berita-berita mengenai Kashmir sudah terpapar dalam akhbar dalam dan luar negara. Kalian boleh buat carian dan membaca sendiri. Namun, akses berita terkini agak sukar kerana komunikasi telah ditutup serta merta, menyebabkan dunia sukar mengetahui keadaan sebenar. Oleh kerana itu saya menulis untuk kongsikan keadaan terkini hasil pertemuan dengan beberapa tokoh dan rakyat Kashmir seperti Syeikh Rasyid Turabi, Bro Nazir Ahmed Qureshi dan beberapa orang rakyat Kashmir yang belajar di Malaysia.

Hampir kesemua memberi gambaran yang sama, tekanan yang sangat dahsyat dan menegaskan sikap anti Islam yang menjadi asas kepada segala kezaliman ini. Dalam tempoh 70 tahun Kashmir berada di bawah Wilayah India, pelbagai kezaliman yang dihadapi oleh rakyat Kashmir. Ribuan kes wanita dirogol, puluh ribu rakyat yang telah dibunuh, kebanyakannya kes pemuda yang hilang tanpa berita, menyebabkan ramai balu dan anak yang hilang tempat pergantungan.

Kashmir dikenali sebagai syurga dunia kerana pemandangannya yang sangat cantik. Bumi yang istimewa ini penduduknya majoriti Muslim iaitu mewakili 97 peratus dan satu-satunya negeri yang penduduknya majoriti Muslim di India. Ia telah diberi autonomi atas faktor sejarahnya yang berkaitan dengan populasinya juga. Maka, sebab itulah di dalam Perlembagaan India, memberikan peruntukan khusus (Artikel 370 dan 35A) kepada autonomi Kashmir, mereka boleh mempunyai bendera, kerajaan, Parlimen tersendiri dan tanah mereka tidak boleh dibeli oleh rakyat India daripada wilayah lain. Kerajaan India hanya berkuasa terhadap perkara berkaitan ketenteraan, komunikasi dan hubungan luar sahaja, selebihnya diuruskan oleh Kerajaan Tempatan Kashmir.

Bagi memahami latar sejarah konflik Kashmir, sila baca artikel yang sangat padu karangan YB Ust Muhammad Khalil, Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=2336609343061231&id=526079594114224

Kemuncaknya, pada 5 Ogos 2019, Kerajaan Kashmir mengumumkan ‘pemansuhan kuasa’ Artikel 370 dan 35A yang memperuntukkan autonomi kepada rakyat Kashmir. Perkara ini dibuat melalui dekri Presiden yang diumumkan oleh Menteri Dalam Negeri India, Amit Shah. Sebenarnya ini merupakan salah satu daripada manifesto BJP dalam pilihan raya mereka yang lalu. BJP banyak membawa slogan dan agenda ekstrim hindu bagi meraih sokongan rakyat yang beragama hindu.

Bagaimana keadaan rakyat Kashmir sekarang?

Seiring dengan tindakan tidak demokratik dan zalim itu, rakyat Kashmir terus diarah untuk berkurung di rumah dengan kawalan tentera. Arahan tersebut turut menyebabkan seluruh kedai, masjid, sekolah tempat-tempat awam lain mesti ditutup. Kerajaan India juga dilaporkan menghantar ratusan ribu askar ke Kashmir bagi mengawal rakyat. Hampir setiap kawasan terdapat askar yang menjaga, dan mereka akan menembak menggunakan ‘pellet gun’ kepada yang cuba menentang.

Bayangkan, selama 67 hari, tidak dibenarkan keluar rumah, telekomunikasi diputuskan, ribuan yang cuba menentang ditembak dan ditangkap. Sebahagiannya buta kerana terkena peluru, ada pula yang mati terbunuh. Mereka hanya dapat membeli makanan dan keperluan ketika kawalan tidak begitu ketat dalam masa dan stok yang sangat terhad. Masjid-masjid utama semuanya dikunci dan dilarang sama sekali melaksanakan Solat Jumaat.

Lebih teruk dan menyedihkan, bantuan kemanusiaan dan media tidak dibenarkan masuk. Media tidak dapat melaporkan berita terkini dan keadaan rakyat, hanya dapat info daripada rakyat yang merekod dan menghantar pada media melalui wilayah lain. Amat sukar! Malah seluruh pemimpin masyarakat termasuk pemimpin Jamaat Islami telah ditangkap terlebih dahulu bagi memastikan tiada tentangan terancang.

Sekiranya hal ini berterusan yang ditakuti adalah berlakunya penghapusan etnik secara sedikit demi sedikit. Dengan keadaan yang tertutup dan agenda yang jelas ini, segala kemungkinan boleh terjadi. Adakah ia mustahil? Dengan situasi yang ada, kita hanya boleh berdoa agar dijauhkan perkara ini. Apatah lagi dengan sejarah hitam di Gujerat pada 2002, dilaporkan 2000 – 5000 Muslim telah disembelih oleh ekstremis hindu. Tahukah anda bahawa ketika itu Narendra Modi (Perdana Menteri India sekarang) merupakan Ketua Menteri Gujerat? Sejarah tidak lupa ‘jasa’ Modi yang telah mengakibatkan peristiwa berdarah ini. Apatah lagi dengan berleluasanya gerakan ekstrimis hindu iaitu RSS di India sekarang.

Penutup

Hari ini memasuki hari yang ke-67 pengurungan sekali gus kezaliman maha dahsyat terhadap rakyat Kashmir. Hingga kini mereka ditekan sehabisnya dan tiada tanda-tanda India akan menghentikan semua ini walaupun tiap-tiap hari rakyat Kashmir cuba berdemonstrasi dan desakan dari pelbagai negara. Dijangka perkara ini akan berterusan dan ada yang menjangkakan perang antara India dan Pakistan akan meletus disebabkan konflik ini.

Apa yang menyedihkan, ada negara Islam yang tergamak memberi anugerah kepada Perdana Menteri India disaat mereka membuat kezaliman jelas pada umat Islam. Sangat mengecewakan. Mereka umat Islam di sana sedang berjuang, tidak tunduk, tetap teguh melawan, mempertahankan hak. Namun persoalan buat kita di sini, adakah mengambil tahu? Adakah kita cuba berbuat sesuatu? Anda sendiri tahu diri anda.

Saya menyeru rakan semua mulakan dengan memberi penerangan dan selitkan doa buat mereka. InsyaAllah kita usaha bersama untuk tindakan lanjut yang lebih berkesan. Semoga tulisan ini memberi penjelasan serba sedikit dan membawa kesedaran bertindak semua. Amin.

WaLlahul Musta’an.

“Save Kashmir”
“Break The Silence”

MUHAMMAD AFIQ AWANG BAKAR – HARAKAHDAILY 11/10/2019

Advertisement