Belanjawan 2020 tidak capai kehendak rakyat

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2020 yang dibentangkan kerajaan PH tidak dilihat mencapai kemahuan rakyat, kata Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Advertisement

Menurut beliau, kemahuan rakyat seperti penurunan harga minyak serta penurunan kos sara hidup tidak mampu dicapai kerajaan PH walaupun dalam Belanjawan 2020.

“Rakyat mahu harga minyak turun, rakyat mahu kos hidup diturunkan, rakyat mahu agar nilai tambahan pendapatan itu berlaku, tetapi itu semua adalah janji-janji kosong sahaja, janji untuk sediakan banyak peluang pekerjaan itu hanyalah diatas kertas sahaja,” ujarnya.

Beliau yang seolah-olah kecewa dengan Belanjawan 2020 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng itu ditemui Harakah selepas usai pembentangan di lobi Parlimen.

“Tidak ada yang menarik untuk bajet pada kali ini, yang jelasnya Kelantan dan Terengganu masih tiada apa yang diterima, dan kita lihat terlalu cuba nak menyamaratakan antara bumiputera dan bukan bumiputera, seolahnya begitu,” katanya.

Mengulas lanjut, Khairuddin berkata, beliau juga kurang senang dengan hasrat kerajaan di dalam Belanjawan 2020 itu yang dilihat memberi potongan cukai yang begitu banyak kepada institusi perniagaan.

Katanya, hal ini kerana cukai-cukai tersebut merupakan hak rakyat dan sekiranya kerajaan memberikan potongan cukai yang banyak ke atas perniagaan, ia akan menghilangkan hak rakyat.

“Kalau kita kata bab zakat, zakat tak ada pengecualian, dia kena bayar, kalau itu hak rakyat. Kenapa syarikat-syarikat besar diberikan potongan cukai yang begitu banyak, yang akhirnya akan menghilangkan hak rakyat?

“Itu bukan cara kita menguruskan kewangan kerana Islam menyatakan (mesti) memberi hak kepada rakyat, sepatutnya di kala mereka mendapat ruang yang banyak dalam satu bentuk perniagaan, kenalah dipulangkan kepada rakyat.

“Jadi ini benda yang kita selalu kritik, bahawa potongan cukai yang melampau kepada korporat korporat itu merugikan rakyat, dalam masa sama rakyat tetap akan hadapi peningkatan kos hidup dalam kehidupan mereka,” ujarnya.

Belanjawan 2020 itu merupakan belanjawan kali kedua yang dibentangkan kerajaan PH setelah PH mengambil alih tampuk pemerintahan Kerajaan Malaysia.

Untuk rekod, sebanyak RM297.020 bilion diperuntukkan untuk Bajet 2020, manakala RM314.55 bilion dalam Bajet 2019. – HARAKAHDAILY 12/10/2019