LTTE: Bukti SOSMA masih diperlukan



TANGKAPAN tujuh individu termasuk dua Adun DAP di bawah SOSMA atas sebab penglibatan mereka dalam majlis yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pemberontak bersenjata Tamil Ealam (LTTE) menunjukkan kerajaan masih memerlukan undang-undang anti keganasan yang cekap dan berkesan.

Tanpa menafikan kelemahan dalam beberapa peruntukan SOSMA atau Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012, penahanan ini menunjukkan bahawa undang-undang seumpama ini masih diperlukan bagi menghadapi ancaman pengganas tanpa mengira latar belakang agama atau kaum.

Undang-undang yang berkaitan keselamatan negara mempunyai kaitan rapat dengan ketenteraman awam dan kedaulatan negara. Ancaman kumpulan ini adalah ibarat api dalam sekam yang boleh mencetus bahaya yang besar terhadap negara jika tidak dipadamkan dengan cepat dan menyeluruh. Dalam hal ini kerajaan perlu memiliki kuasa khas bagi bertindak dengan lebih berkesan. Oleh itu, aspek pembuktian dan prosedur pendakwaan dalam kes sebegini perlu berbeza dibandingkan kes jenayah biasa.

Walaupun dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) terdapat janji untuk memansuhkan SOSMA, ia bukanlah satu yang mengikat kerajaan untuk melakukannya secara gopoh tanpa membuat kajian dan penilaian terperinci. Janji dibuat dalam keadaan maklumat yang terbatas dan sudut pandangan yang terhad sebagai pembangkang. Setelah melihat sendiri realiti pelaksanaan undang-undang dan memahami secara jelas ancaman keganasan melalui kedudukan sebagai kerajaan, sepatutnya pendirian memansuhkan SOSMA telah berubah.

Kerajaan tidak perlu memansuhkan SOSMA, apa yang perlu ialah membuat pindaan ke atas akta itu dan meningkatkan kecekapan dalam risikan serta pengurusan ancaman keganasan, serta menambahbaik sistem pemulihan. Pindaan yang perlu termasuklah dari aspek pembuktian, tempoh tahanan siasatan, hak guaman.

Dakwaan bahawa mereka yang tidak bersalah telah dihukum di bawah SOSMA boleh dia tanpa memansuhkannya. Penilaian semula terhadap setiap individu yang dihukum penjara atas kesalahan di bawah SOSMA sebelum ini juga wajar diteliti  satu persatu semula agar hanya mereka yang benar-benar terlibat dalam keganasan yang dikenakan hukuman. Mereka yang dipenjara atas pembuktian yang terlalu lemah wajar dicadangkan untuk menerima pengampunan.

Selain itu, SOSMA juga perlu digunakan dengan telus tanpa sebarang unsur kepentingan politik. Tetapi konsep ini tidak bermakna ahli politik yang benar-benar terlibat dalam keganasan terlepas dari akta ini.

Kita percaya pihak polis bertindak secara profesional bagi menjaga keselamatan negara. Adalah diharapkan agar semua pihak memberikan kepercayaan kepada pihak penguatkuasa undang-undang, institusi perundangan dan kehakiman untuk bertindak ke atas mereka yang ditahan.

Pemimpin parti yang terlibat terutamanya dari kalangan mereka yang mempunyai kedudukan dalam Kabinet perlu juga bertindak profesional dengan tidak mencampuri urusan siasatan, dan keseluruhan proses perundangan. Keutamaan bagi rakyat ialah ketenteraman awam yang menjadi pra-syarat kepada keharmonian dan kemakmuran negara.

DR MUHAMMAD FATHI YUSOF
Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan)
Universiti Teknologi Malaysia – HARAKAHDAILY 11/10/2019

Advertisement

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.