LTTE: Lim Guan Eng jangan ‘double standard’

shahir3

DEWAN Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) merakamkan ucapan tahniah kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah bertindak dengan profesional untuk menangkap dua wakil rakyat DAP iaitu Exco Negeri Melaka yang juga Adun Gadek, G Saminathan dan Adun Seremban Jaya, P Gunasekaranitu kerana disyaki terlibat dengan aktiviti mempromosi, menyokong, menghasut, menggalak dan mencari dana untuk kumpulan pengganas LTTE.
 
Penglibatan pemimpin DAP dalam menyokong gerakan LTTE yang diklasifikasikan sebagai kumpulan pengganas oleh kerajaan Malaysia adalah membimbangkan. Tambahan pula DAP merupakan antara parti politik terbesar dalam gabungan Pakatan Harapan dan anggota kabinet Kerajaan Malaysia. Tahniah diucapkan kepada Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir untuk tidak berganjak menghapuskan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 SOSMA. Akta ini sememangnya diperlukan untuk menghalang pengganas bertindak sewenang-wenangnya di dalam negara kita.
 
Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) turut menyelar kenyataan Lim Guan Eng yang membuat kenyataan bahawa tiada lagi pemimpin atau wakil rakyat dari DAP akan disasarkan, seolah-olah beliau memegang portfolio Menteri Dalam Negeri. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) berharap isu keselamatan negara tidak dipolitikkan oleh DAP. Pihak polis semestinya mempunyai bukti kukuh untuk membuat penahanan tersebut dan dimaklumkan bahawa risikan dan siasatan ke atas semua suspek telah dilakukan sejak November tahun lepas. Lim Guan Eng dinasihatkan tidak mencampuri urusan pihak polis.
 
Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) turut terkilan dengan kenyataan beberapa pemimpin DAP yang menyamakan “pejuang LTTE” seperti perjuangan Palestin. Harus diingat bahawa pengganas LTTE adalah sama seperti pengganas Al-Qaeda dan ISIS. Mereka tidak ada ruang di dalam negara Malaysia dan ideologi pengganas seharusnya dihapuskan. Pemimpin DAP jangan menjadikan isu LTTE sebagai isu agama atau perkauman kerana keganasan tidak kenal agama atau warna kulit.
 
Selamatkan Malaysiaku!

Advertisement

SHAHIR ADNAN
Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM)
Parti IKATAN Bangsa Malaysia merangkap
Pemuda Gagasan Sejahtera – HARAKAHDAILY 12/10/2019