PAS dan MCA Johor cari titik persamaan

    JOHOR BAHRU: PAS dan MCA Negeri Johor telah mengadakan sesi pertemuan antara kedua parti tersebut yang dilangsungkan di Hotel Mutiara, di sini kelmarin dahulu.

    Advertisement

    Majlis ini bertujuan untuk kedua-dua pihak saling mengenali dengan lebih lanjut disamping mengadakan perbincangan terutama berkaitan isu-isu yang membelenggu hubungan selama ini.

    Antara isu yang paling banyak menjadi persoalan dalam kalangan delegasi MCA adalah berkenaan pengalaman PAS mengadakan tahaluf siyasi bersama DAP sebelum ini.

    Menjelaskan perkara tersebut, Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin berkata, PAS tertakluk kepada hukum syarak dan tahaluf diikat dengan syarat dalam kerangka tersebut.

    Oleh itu jelasnya, apabila DAP melakukan banyak pelanggaran terhadap syarat tahaluf tersebut, maka mengikut pertimbangan syarak juga ianya telah membawa kepada pembatalan.

    Timbalan Pengerusi MCA Johor, Senator Dato’ Lim Pay Hen yang mengetuai delegasi 13 anggota MCA itu mengakui pertemuan tersebut telah mengikis persepsi MCA kepada PAS.

    Antaranya menurut beliau adalah tertanam di minda kebanyakan anggota MCA bahawa PAS adalah ekstrem, pelampau dan Taliban, sedangkan PAS berpolitik selari panduan al-Quran dan Hadis.

    Antara hadir sama adalah Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Dr Mazri Yahya dan Ketua Pemuda PAS Johor, Ustaz Ahmad Nawfal Dato’ Mahfodz serta Ketua Pemuda MCA Johor, Ling Tian Soon. – HARAKAHDAILY 11/10/2019