Bajet 2020 ‘gagal’ untuk Sarawak

SUDAH dijangkakan PH gagal memenuhi janji manifestonya sekali lagi apabila Belanjawan 2020 yang diumumkan pada 11 Oktober gagal memenuhi tuntutan janji mereka kepada rakyat terutamanya Sarawak.

Dalam belanjawan kali ini sekali lagi PH Sarawak gagal untuk mendapatkan seperti janji 50 peratus dari cukai dipungut dan 30 peratus dari peruntukan pembangunan untuk diberikan kepada Sarawak.

Hanya RM4.4 bilion peruntukan pembangunan diberikan dan beza RM800 juta berbanding Sabah. Jumlah keseluruhan peruntukan pembangunan ialah RM56 bilion dan Sarawak hanya menerima 7.8 peratus sahaja. Keseluruhan Sabah dan Sarawak pula hanya menerima 17 peratus sahaja iaitu jauh dari sasaran 30 peratus seperti Manifesto PH.

Banyak lagi tumpuan semua pihak untuk belanjawan kali ini seperti peruntukan jelas untuk membantu golongan berpendapatan rendah di luar bandar yang masih kabur dalam belanjawan tersebut.

Dalam pembentangan bajet semalam juga menyebut tentang kajian semula peruntukan Persekutuan kepada negeri, iaitu Artikel 112D. Artikel ini membolehkan kerajaan membuat kajian semula pemberian kepada Kerajaan Negeri. Kali terakhir semakan dibuat pada 1969 iaitu RM16 juta. Angka kenaikan dari RM4 juta ke RM8 juta pada tahun 1963 menunjukan trend kenaikan sekali ganda. Semakan semula sepatutnya dibuat juga kepada baki semakan yang tertangguh sejak 1969 sehingga 2019 dan bukannya semakan dengan kenaikan sekali ganda yang hanya bermula tahun 2020 kelak!

Jelas, PH juga gagal dalam misi mengembalikan hak Sarawak yang dinafikan selama ini di dalam Persekutuan. PAS komited untuk bersuara dalam perbahasan bajet ini kelak bersama dengan rakan pembangkang yang lain bagi memastikan rakyat Sarawak terdekat dan tidak mudah tertipu dengan dakyah DAP-PH.


ZHARUDIN NARUDIN
Ketua Penerangan PAS Sarawak – HARAKAHDAILY 12/10/2019

Advertisement