MP DAP palit fitnah, hina Palestin dan Rohingya

SETELAH PDRM baru sahaja selesai membuat penangkapan yang begitu mengejutkan rakyat Malaysia terhadap 7 individu yang dikaitkan dengan pertubuhan pengganas LTTE, di mana dua daripada kumpulan individu terbabit adalah merupakan ahli politik DAP iaitu P. Gunasekaran (Adun Seremban Jaya, Negeri Sembilan) dan G. Saminathan (Adun Gadek, Melaka merangkap Exco Negeri), YB Charles Anthony Santiago, ahli Parlimen Klang dari DAP pula secara tidak bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan karut dengan menyamakan perjuangan ganas LTTE dengan perjuangan suci membebaskan al-Quds, Palestin dan Rohingya di Myanmar.

Kenyataan tidak berasas beliau dibantah sekeras-kerasnya kerana sangat tidak bertanggungjawab dalam soal menjaga sensitiviti umat Islam dan hubungan antara kaum di negara ini serta di peringkat antarabangsa.

Kenyataan yang dibuat  sangat jauh tersasar daripada realiti sebenar isu penindasan di Palestin dan Rohingya untuk dibandingkan dengan keganasan yang telah dilakukan oleh kumpulan LTTE terhadap rakyat Sri Langka yang tidak menyokongnya.Umat Islam antara rakyat Sri Langka  yang dibantai teruk oleh kumpulan ini dalam tempoh 25 tahun konflik ini berlaku.

Seluruh masyarakat Malaysia dan antarabangsa yang sentiasa bersama dalam keperihatinan dan menyokong perjuangan untuk pembebasan rakyat dan Negara Palestin daripada kezaliman dan penjajahan oleh rejim Zionis Israel sangat rasa marah dan kesal atas kenyataan pimpinan DAP ini. Kenyataan  ini sangat mengguris hati rakyat Palestin dan telah  menghina mereka yang telah berjuang lebih satu dekad untuk pembebasan bumi Palestin dan rakyatnya.

Perjuangan rakyat Palestin dan Rohingya adalah perjuangan yang bersifat kemanusiaan dan bermaruah dan ianya sangat berbeza dengan pengganas LTTE .

Ternyata YB Charles Anthony telah menghina, memalitkan fitnah serta memberi gambaran yang sangat salah kepada perjuangan rakyat Palestin dan juga Rohingya di mata rakyat Malaysia dan dunia.

Kenyataan beliau juga tidak mencerminkan kebenaran sebenar pendirian konsisten YAB Perdana Menteri Malaysia dalam isu Palestin dan Rohingya sewaktu berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) Sesi ke-74 di New York, September lalu.

LTTE ditubuhkan pada tahun 1976 untuk menuntut wilayah Tamil Eelam di Sri Lanka secara terang telah melakukan beberapa siri aktiviti berbentuk terrorism dan radicalism sehingga diisytiharkan sebagai pertubuhan pengganas dan haram di Sri Lanka serta di negara-negara lain termasuk Malaysia, Amerika Syarikat, India, Pakistan dan lain-lain.

Pada tahun 3 Ogos 1990, kumpulan LTTE ini telah menyerang Masjid Kattankudy di Sri Langka dan telah membunuh 147 umat Islam yang sedang solat Insya di dalam masjid tersebut.

Kumpulan ini juga telah membunuh lebih 285 penduduk Islam di Palliyagodella, Sri Langka termasuk kanak-kanak dan wanita. Banyak lagi senarai siri pembunuhan kejam kumpulan ini kepada penduduk Sri Langka dalam tempoh 25 tahun yang telah mengorbankan puluhan ribu rakyat yang tidak berdosa.

Kumpulan ini sama sahaja tindakan dan kezaliman mereka dengan rejim Zionis Isreal dan pihak yang membunuh dan menghalau rakyat Rohingya di Myanmar.

Adalah amat pelik dan janggal apabila YB Charles Anthony Santiago menyamakan perjuangan rakyat yang tertindas di Palestin dan Myanmar dengan gerakan kumpulan keganasan di  Sri Langka.

Justeru, kami menuntut YB Charles Anthony supaya menarik balik kenyataan tersebut dan menggesa beliau membuat permohonan maaf secara terbuka kepada umat Islam dan masyarakat umum yang sangat tersentuh atas kenyataannya.

Kenyataan beliau secara jelas telah memalukan nama Malaysia di peringkat antarabangsa, khususnya kepada pejuang-pejuang masyarakat Sivil di seluruh dunia yang sentiasa memperjuangkan dua kelompok besar sedang ditindas, iaitu Palestin dan Rohingya.

Sekian;

YB AHMAD TARMIZI SULAIMAN
Ahli Parlimen Sik / TYDP Pas Kawasan Sik – HARAKAHDAILY 12/10/2019

Advertisement