PASTI Tambun wujudkan pejabat pengurusan

TAMBUN: PASTI Kawasan Tambun menempa satu lagi kemajuan dengan mewujudkan pejabat khusus bagi perkemaskan pengurusan institusi pendidikan Islam pra-sekolah ini di peringkat kawasan.

Advertisement

Pejabat ini bertujuan menjadi satu pusat latihan pendidikan kepada semua Sukarelawan Guru PASTI Tambun untuk mendidik anak-anak PASTI dan ianya juga sebagai pentadbiran berpusat PASTI Kawasan.

Penasihat PASTI Tambun, Ustaz Hafez Sabri berkata,  penubuhan pejabat ini adalah sebagai usaha untuk memastikan bahawa PASTI Kawasan dapat bergerak dengan lebih lancar.

Menurut beliau, PASTI Tambun juga sedang dalam usaha untuk terus menambah cawangan PASTI di sekitar Tambun agar menjadi pilihan utama ibu dan ayah dalam pendidikan awal kanak-kanak.

Pengerusi PASTI Tambun, Ustaz Mohd Shahrul Abd Manap pula berkata, terdapat 18 Cawangan PASTI di dalam kawasan Tambun dan kedudukannya pula adalah di zon bandaraya.

PASTI Tambun juga mengalu-alukan sumbangan orang ramai dalam bentuk zakat, fidyah, infak dan wakaf untuk bersama membangunkan pembangunan pejabat dan pengurusan PASTI Tambun.

Sebarang sumbangan dan Infak boleh disalurkan melalui nombor akaun Bank Islam 0801 3010 0512 50 atas nama PASTI TAMBUN atau boleh hubungi terus Pengerusi PASTI Tambun, Ustaz Mohd Shahrul Abd Manap 017- 549 9981. – HARAKAHDAILY 12/10/2019