Warga asing boleh beli hartanah RM600k sahaja?

AGAK mengejutkan pembentangan Bajet 2020 oleh Menteri Kewangan semalam. Dan banyak mata tertumpu kepada penurunan harga ambang untuk pemilikan hartanah oleh warga asing dari RM1juta kepada hanya RM600k.

Sangat rendah idea kerajaan untuk selesaikan masalah ‘overhang unit’. Jual sahaja dengan warga asing? Nilai RM600k sangat rendah kepada warga negara-negara berpendapatan tinggi contohnya jiran terdekat, Singapura.

Bagi pendirian Pemuda PAS Selangor, langkah ini sangat membimbangkan. Dan menggesa Kerajaan Negeri Selangor tidak mengikuti garis panduan oleh Kerajaan Pusat ini.

Pemuda PAS Selangor melihat, langkah ini bagaikan hanya untuk membantu pemaju-pemaju besar yang sebelum ini berkejaran untuk bina hartanah dengan harga tinggi tanpa membuat ‘feasibility study’ yang sepatutnya mereka buat dengan teliti.

Kami juga berpandangan, ia adalah kesilapan besar pemaju-pemaju sendiri kerana tidak meletakkan asas hukum ‘penawaran vs permintaan’. Ia mengakibatkan unit-unit mereka gagal dijual kerana tidak memahami kehendak ‘permintaan pasaran’.

Apabila kesilapan ini berlaku di pihak pemaju, mengapa pihak kerajaan pula yang  berusaha menyelesaikan masalah mereka? Maka sangat beruntunglah mereka. Golongan kaya semakin dibantu atas silap mereka.

Bagi kami, inilah masa terbaik untuk pemaju menyedari bentuk dan julat harga hartanah yang sewajarnya mereka bina. Bukan hanya berpaksikan kepada profit. Tetapi jika mereka ‘dibantu’ pihak kerajaan, maka risiko gelembung hartanah boleh terjadi. Jelasnya, inilah waktu terbaik untuk membetulkan pasaran (market correction) hartanah yang dikatakan naik mencanak sebelum ini dan meninggalkan kadar kemampuan rakyat.

Pemuda PAS Selangor juga berpandangan, menurunkan harga ambang untuk warga asing bagi pasaran hartanah ini, ia bakal merisikokan rakyat dengan masalah lain apabila lambakan warga asing di kawasan penempatan warga tempatan.

Sebagai penekanan dan penutup, pihak Pemuda PAS Selangor amat mengharapkan langkah Kerajaan Pusat ini tidak diikuti oleh Kerajaan Negeri Selangor. Ini adalah berdasarkan rekod sebelum ini, ada kecenderungan besar Kerajaan-kerajaan Negeri untuk mengikuti garis panduan harga ambang pemilikan oleh warga asing.

Sebagai tambahan dan cadangan, dalam konteks Kerajaan Negeri Selangor khususnya perlu lebih aktif dalam mengawal projek-projek baharu oleh pemaju supaya menepati kelayakan golongan M40 dan B40 sebagai target pasaran terbesar. Ini bagi mengelakkan isu lambakan unit rumah baru tidak terjual semakin membarah teruk.

HANAFI ZULKAPLI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor. – HARAKAHDAILY 12/10/2019

Advertisement