PAS-Umno Pdg Rengas bentuk sekretariat bersama

PADANG RENGAS: PAS dan Umno Parlimen Padang Rengas mencapai kesepakatan kedua pihak menubuhkan sekretariat bersama membentuk tiga jawatankuasa hasil pertemuan yang diadakan di Pejabat Umno Bahagian Padang Rengas, di sini semalam.

Advertisement

Jawatankuasa Pelaksana akan diketuai bersama Yang DiPertua PAS Kawasan Padang Rengas, Sukeri Mat Amin dan Ketua Umno Bahagian Padang Rengas, Dato’ Seri Mohamed Nazri Abd Aziz.

Manakala Jawatankuasa Penyelaras diketuai bersama Timbalan Yang DiPertua PAS dan Timbalan Ketua Umno Padang Rengas iaitu Mohamad Azalan Radzi dan Dato’ Zainun Mat Noor.

Sementara Jawatankuasa Teknikal pula diketuai Naib Yang DiPertua PAS, Ustaz Azizi Mohamed Ridzuan dan Naib Ketua Umno, Khairuddin Mohamed Azahari.

“Pertemuan ini sangat positif dan berjalan dalam suasana cukup harmoni. Kita yakin dan percaya bahawa pertemuan ini akan dapat mengatur langkah bagi kita sama-sama dengan Umno Padang Rengas menjayakan permuafakatan ummah dan gerak kerja akan datang,” ujar Sukeri.

PAS dan Umno Padang Rengas sebelum ini telah beberapa kali menganjurkan program bersama melibatkan ahli di pelbagai peringkat. – HARAKAHDAILY 13/10/2019