Ancaman LTTE: PAS desak bentang Kertas Putih

taki3

KUALA LUMPUR: PAS memandang serius insiden penangkapan beberapa individu berprofil tinggi yang disyaki terlibat dengan aktiviti yang menyokong fahaman pelampau Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE) di Malaysia sebagaimana diumumkan oleh Bahagian Counter Terrorism (E8), Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Advertisement

Demikian dinyatakan Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru, katanya PAS menggesa agar pihak PDRM diberikan ruang yang bebas untuk menyiasat dan mengambil segala tindakan undang-undang yang perlu bagi membanteras kegiatan itu yang boleh menjejaskan keselamatan dan keharmonian negara tanpa campur tangan dan gangguan mana-mana pihak.

“Memandangkan kes ini merupakan suatu perkara berkepentingan awam (public interest), PAS juga mendesak supaya kerajaan mengemukakan dan membentangkan suatu Kertas Putih di Parlimen mengenai penyebaran ideologi, rangkaian organisasi dan kegiatan pihak-pihak yang disyaki terlibat dengan gerakan pelampau LTTE di Malaysia, yang turut dikaitkan dengan beberapa pemimpin politik tempatan,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu. – HARAKAHDAILY 14/10/2019