Belanjawan Kelantan ambil kira bayaran royalti

KOTA BHARU: Walaupun Belanjawan 2020 menyaksikan perbelanjaan defisit, namun anggaran peruntukan pembangunan turut bergantung kepada komitmen Kerajaan Pusat membayar royalti.

Advertisement

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, kerajaan negeri tetap menaruh keyakinan kerajaan persekutuan menunaikan janjinya.

“Kita yakin dengan perancangan kerajaan akan menjadi realiti dalam masa terdekat khususnya setelah kerajaan persekutuan menunaikan bayaran royalti.

“Ia merupakan keputusan yang dibuat dalam mesyuarat Majlis Kewangan Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri,” katanya ketika membentang Belanjawan Kelantan 2020 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) hari ini.

Belanjawan itu memperuntukkan sebanyak RM1.1 bilion sebagai perancangan berbelanja secara berhemat yang memberi keutamaan untuk merangsang kemakmuran negeri.

Bagi memastikan kemakmuran negeri dapat direalisasikan menurut beliau, sebanyak RM309.51 juta disediakan dan jumlah itu meningkat sebanyak RM1.65 juta berbanding 2019.

Katanya dana tersebut merupakan wang yang disatukan daripada peruntukan negeri sebanyak RM219.51 juta dan RM90 juta pula sumber pinjaman. – HARAKAHDAILY 14/10/2019