Melancong dan melencong

PENAT aku dengan PH ini. Hari-hari ada saja cerita yang aku kena buat. Penat woo… cuba cerita bawah ini pula macam mana kut-kut boleh buat breakfast.

Pulau Pinang mempunyai sebuah tempat bagi tarikan pelancong di sekitar Teluk Bahang iaitu Taman Rama-rama. Aku pernah masa rombongan sekolah dulu, ke sana. Seingat aku kena lalu ikut Batu Feringgi naik jalan bukit-bukit sikit. Bila masuk, biasa saja, tidaklah terlalu menakjubkan. Lepas dari tarikh itu, aku pernah lalu tapi tak lagi masuk ke sana. Jadi tak tahulah macam mana keadaannya sekarang.

Katanya sudah ditukar namanya sekarang kepada Entopia dan ianya dikenali dunia. Yalah, ramai pelancong yang datang, pastilah dapat nama kan? Harga tiket sekarang dengar ceritanya RM39 dewasa. Kawasannya juga telah dibesarkan.

Pulau Pinang juga kini mempunyai Team Rama-rama yang terkenal di dunia kerana aktiviti melencong dari Undang-undang Malaysia iaitu menyokong kumpulan pengganas LTTE. Antara yang dikatakan  menjadi penyokongnya ialah P. Ramasamy yang juga Exco Kerajaan Negeri. Beliau bersama beberapa lagi individu yang nama mereka bermula dengan Rama mungkin akan ditangkap secara beramai-ramai jika PDRM mempunyai bukti kukuh.

Jadi Pulau Pinang mendapat manafaat yang banyak daripada Taman Rama-rama dengan kemasukan pelancong dan akan mendapat mudharat yang besar dari Team Rama-rama yang melakukan aktiviti melencong dari peraturan negara, iatu menyokong pengganas LTTE.

Haa… Pilihlah lagi Kafir yang amanah… Amanah konon, amanah abah nko

Nak tolong selamatkan

DAP dan sekutunya perlu memahami akan situasi sekarang bahawa simpati mereka terhadap ahli-ahli mereka yang ditangkap tidak perlu diperbesar-besarkan sangat. Ini kerana pihak berkuasa Malaysia sangat profesional dalam menjalankan tugas yang dimanahkan kepada mereka.

Malah di beberapa puluh buah negara, LTTE itu disahkan sebagai pertubuhan pengganas, ia bukan hanya di Malaysia dan baru-baru ini sahaja berlaku, sudah puluhan tahun mereka berbuat onar. Bila mana mereka membunuh, mereka bunuh sesiapa sahaja mengikut arahan ketua mereka. Mereka juga akan membawa racun yang diletakkan di rantai yang mereka pakai, jadi apabila ditangkap, mereka akan segera membunuh diri.

Tidak boleh membandingkan mereka dengan perjuangan Palestin kerana, Palestin jelas, hanya bertembung dengan Israel sahaja. Asal tanah Palestin ialah kepunyaan Palestin. Ya mereka juga membunuh, tetapi membunuh hanya musuh Israel mereka sahaja. Mereka meletupkan diri, dengan membunuh Israel. Mereka berjuang kerana agama Islam, bukan hanya kerana mahu mendapatkan kuasa autonomi. Banyak lagi bezanya.

Cuma suka aku ingatkan terutamanya kepada kaum Hindu, kerana isu LTTE sekarang ini hanya melibatkan orang Tamil dan mereka adalah Hindu, bahawa tindakan PDRM ini adalah untuk menyelamatkan orang Hindu daripada kumpulan Hindu yang sesat macam LTTE ini. Mana ada ajaran Hindu kata boleh bunuh orang ikut suka? Pergi serang masjid, bunuh orang tengah solat? Ada? Sedangkan dia kata dia lawan Kerajaan Sri Lanka yang Buddha itu.

Jadi hampir samalah macam guru engkau cakap hari itu, nak selamatkan orang Islam daripada Zakir Naik yang konon dia kata bawa ajaran ‘sesat’ itu. Jadi kita saling menyelamatkanlah ini…. Oklah itu. Kita kan satu Malaysia ?

Tak acilah gitu

Kulasegaran meminta semua pihak untuk tidak mempercayai apa yang tersiar di internet yang mana beliau didakwa terlibat dengan kegiatan menyokong kumpulan LTTE. Dengan begitu banyak wajah beliau yang jelas kelihatan berada bukan sahaja dalam majlis, malah di pentas utama sebagai tetamu terhormat, beliau menafikannya kerana soal beliau, adakah anda semua bertanya kepada orang yang menghantar video dan gambar itu? Atau hanya menerimanya melalui internet.

Jawapan beliau, sangat piawai dengan jawapan VK Linggam suatu masa dahulu. VK Linggam telah dirakam secara rahsia bagi satu perbincangan mengatur kedudukan penting Hakim Mahkamah. Beliau kemudiannya hanya menjawab “Ia kelihatan seperti saya dan kedengaran seperti saya”. Atau mereka satu kapal? Maksud saya satu kapal dalam jurusan menjawab? Tetapi yang kita maklum, pembangkang ketika itu, termasuklah DAP, mengatakan sistem kehakiman akan runtuh kerana perbuatan Linggam ini. Tidak pula ditanya Kula dan rakan-rakannya akan bahan yang mereka dapat di internet itu.

Sebelum terlupa, DAP juga yang bersungguh berkempen memburuk-buruk PAS dan BN ketika PRU, ok pula masa DAP memfitnah.

Jika persoalan sebegini terus diisukan, nanti mungkin orang akan tanya Dato Ayob Khan itu ada ke masa LTTE buat program kat sana sini? Dato’ Ayob nampak sendiri ke apa yang LTTE buat dulu kat Sri Lanka? Tak baik Dato main dengar cakap orang saja. Kan dah jadi payah PDRM nak siasat.

Samalah macam mahkamah, kalau dalam kes bunuh, takkanlah Hakim dengan Peguam, ada kat tempat kejadian. Yang ada pastinya tertuduh, mangsa dan mungkin beberapa orang saksi. Kadang-kadang tak ada saksi pun, tapi nampak ikut CCTV, jadi mahkamah akan ambil sebagai bukti. Inilah undang-undang yang kita amalkan.

Dan PDRM ada SB nya. PAS dah kenal sangat dengan SB ini, dah banyak kali kena. Tapi walaupun PAS musuh utama BN dulu, PAS masih kekal utuh, tak kena harampun. Sekarang ini pun, PAS musuh utama PH, tak juga kena haram. Dah sebab PAS betul, nak haram macam mana? Jadi Kula kena sabarlah sikit, nanti kalau tak salah, lepaslah. Dan tak acilah Kula nak cakap macam itu, kena ikut undang-undanglah kan? Apa yang DAP perjuangkan dulu itu, Rule Of Law? Takkan Kerajaan Kula tak percaya dengan PDRM agensi Kerajaan Kula sendiri.

Tapi kalau ikut hukum Islam, mungkin jadi lain sikit sebab video tak boleh jadi saksi untuk Hudud, tapi hanya boleh kena hukum Takzir. Contoh kalau Hudud kena 100 sebatan untuk zina, Takzir mungkin hanya 99 sebatan sahaja sebab Takzir tak boleh melebihi Hudud. Jadi Kula kena sokong Islam lah kalau tak mahu video jadi bukti utama.

Advertisement

Sebab apa senyap?

Kita masih menunggu dengan sabar akan kenyataan rasmi daripada Presiden PAN, Mohamad Sabu bagi isu yang paling hangat diperkatakan sekarang iaitu isu beberapa tokoh utama DAP yang ditangkap di bawah akta SOSMA oleh pihak PDRM atas tuduhan terbabit dengan kumpulan pengganas LTTE.

Kiranya kelambatan beliau dalam mengeluarkan kenyataan segera seperti yang telah dilakukan oleh Presiden PKR dan juga Bersatu, adalah manifestasi kegagalan beliau mengambil cakna akan perkara yang sedang berlaku ke atas rakan Pakatan beliau. Apa jenis kawan jika rakan yang sedang dalam kesakitan, kesempitan dan kesusahan ini dibiarkan terkontang-kanting?

Ini adalah kali kedua beliau gagal menyatakan pendirian segera beliau bagi isu keselamatan dalam negara. Pertama ketika seorang Cina DAP iaitu penderma kepada kempan PAN dalam PRU dahulu, dengan nyata menghina ATM sebagai makan dan tidur sahaja. Beliau hanya menyatakan setelah berlalu beberapa hari, orang yang bercakap seperti itu adalah pengkhianat negara, tanpa apa-apa tindakan. Kita faham, bila sudah diberi makan, mana mungkin digigit semula tangan itu.

Dan sekarang, DAP seperti tidak ada kena mengena dengan PAN. Beliau tidak perlu bercakap atas kapasiti Menteri, itu kita faham. Tapi atas kuasa sebagai Presiden sebuah parti yang bersama-sama dalam politik. Kita juga ingin tahu, ke manakah menghilangnya suara kekanda Menteri yang selalu mengusik mak janda dari Cordoba. Beliau juga seperti tertelan biji durian. Senyap, bak tikus masuk ke kepuk padi…..atau beliau sekarang sudah berada di awang-awangan terbang ke syurga?

MOHD NASIR ABDULLAH
14 Oktober 2019 – HARAKAHDAILY 14/10/2019


PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.