PM sebut Pusat akan bayar royalti

KOTA BHARU: Pada 7 Jun 2018 Tun Dr Mahathir Mohamad ada menyebut kerajaan pusat memasuhkan bantuan wang insan, sebaliknya akan dibayar royalti petroleum kepada Kelantan dan Terengganu.

Advertisement

Perdana Menteri (PM) menyebut perkara itu pada mesyuarat Majlis Kewangan Negara yang turut dihadiri Menteri-Menteri Besar, Ketua Menteri dan menteri-menteri Kabinet.

Menteri Besar Ustaz Dato’ Ahmad Yakob berkata, hadir sama pada mesyuarat itu Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Katanya beliau juga sudah menyebut isu tersebut kepada Menteri Kewangan secara tidak rasmi.

“InsyaAllah selepas ini akan diadakan perbincangan dengan secara rasmi dengan Menteri Kewangan berkaitan bayaran royalti petroleum,” katanya ketika menjawab soalan Dato’ Mohamad Awang (PAS-Gual Periok) pada persidangan Dun hari ini.

Manakala Dato’ Adhan Kechik (BN-Bukit Bunga) ketika mengaju soalan tambahan berkata, pada 19 Julai 2018 Menteri Kewangan ada menyebut di parlimen royalti sebanyak 20 peratus daripada jumlah keuntungan akan dibayar kepada negeri-negeri pengeluaran minyak.

“Jadi sehingga sekarang sudah ada dua bukti yang Pusat hendak membayar royalti kepada Kelantan.

“Kita berjuang dengan begitu mahal sekali. Kita melantik peguam Tommy Thomas untuk menyaman Petronas. Dulu beliau peguam swasta.

“Sepatutnya isu royalti kepada Kelantan lebih mudah memandangkan peguam yang pernah dilantik sekarang menjadi penasihat perundangan kepada Kerajaan Pusat sekarang,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/10/2019