‘Adakah ini hukuman kepada rakyat Kelantan?’

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob mempersoalkan adakah Belanjawan 2020 merupakan bentuk hukuman kepada rakyat Kelantan dan Terengganu.

Advertisement

Beliau berkata demikian selepas bersetuju dengan celahan Ahli Parlimen Kota Bharu, Dato’ Takiyuddin Hassan yang menyatakan bahawa Belanjawan 2020 hanya memperuntukan sebuah sekolah bagi negeri itu di bawah pemerintahan PAS.

Menurut Ahli Parlimen Bera itu, agihan Belanjawan 2020 dilihat tidak seimbang dengan pendapatan perkapita bagi setiap negeri dan amat jauh dengan hasrat kerajaan untuk mewujudkan wilayah seimbang atau Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2021-2030.

Katanya, amat malang bagi Kelantan dan Terengganu yang diabaikan tanpa sebarang projek berimpak tinggi seperti negeri-negeri lain, contohnya Pulau Pinang yang menerima peruntukan RM100 juta untuk kereta kabel.

“Sepatutnya Kelantan dan Terengganu mendapat peruntukan yang besar, terutamanya projek berimpak tingi dan tentu sahaja (projek) yang akan memberikan faedah kepada negeri dan juga rakyat negeri Kelantan, yang saya kira dari segi pendapatan perkapitanya amat rendah sekali.

“Tetapi ini tidak berlaku, dan kita hendak tanya, Menteri Kewangan adakah ini hukuman kepada rakyat Kelantan kerana memberikan undi kepada PAS sehinggakan PAS membentuk kerajaan di Kelantan dan Terengganu?

“Dan adakah Kelantan dipinggirkan, diketepikan, kerana menghukum Kelantan yang diperintah oleh kerajaan pembangkang?” soal beliau ketika membahaskan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat, semalam.

Belanjawan 2020 telah dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dengan kos peruntukan sebanyak RM297 billion tidak termasuk simpanan luar jangka.– HARAKAHDAILY 15/10/2019