DACS Teluk Intan anjur Klinik Bola Sepak

TELUK INTAN: Jabatan Seni, Budaya dan Sukan (DACS) Pemuda PAS Kawasan Teluk Intan telah mengadakan Klinik Bola Sepak bersama lagenda bola sepak tanah air, Ahmad Shahrul Azhar di Padang Speedy, di sini pagi kelmarin.

Advertisement

Program julung kali ini telah menarik 150 peserta yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan kaum di mana Pengarah DACS Malaysia, Ustaz Hafez Sabri meluah harapan agar para peserta ini bakal menjadi pelapis kepada pemain lagenda negara.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Perak berkata, sukan merupakan salah satu medium dalam memperkasakan lagi kesatuan dan keharmonian dalam masyarakat majmuk di Malaysia.

Selain itu, kehadiran pemain lagenda yang lain seperti Norsyazwan Mohd Nor dan Mohammad Hardi Jaafar juga turut turun padang dalam sesi latihan secara berperingkat iaitu positioning, passing, dribble dan 2 on 2 support.

Antara aksi menarik perhatian orang ramai adalah semangat penjaga gol yang ditonjolkan oleh peserta berumur 10 tahun, Kissentiran Sivakumar ketika sesi sepakan penalti dengan tangkapan kemas dan menjatuhkan badannya walaupun keadaan padang agak berlecak.

Walaupun begitu, peserta tersebut tidak teragak-agak untuk belajar dan menerima arahan daripada jurulatih pada usia yang begitu muda.

Program diharmonikan lagi dengan penyampaian cenderamata oleh Yang Dipertua PAS Teluk Intan, Ustaz Ismail Che Nik kepada pemain-pemain lagenda bola sepak di Lower Perak Club, Bandar Baru Teluk Intan.

Turut hadir adalah Pengarah DACS Perak, Abdul Hadi Azman bersama Ketua Dewan Pemuda PAS Teluk Intan, Ustaz Firdaus Dhia serta Pengarah DACS Teluk Intan, Ahmad Najib Mahsuri. – HARAKAHDAILY 15/10/2019