Dun Kelantan dukacita kenyataan Guan Eng

KOTA BHARU: Dewan Undangan Negeri Kelantan hari ini meluluskan usul tergempar melahirkan rasa dukacita terhadap kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang dianggap mengeliru rakyat berhubung royalti.

Advertisement

Usul berkenaan dibentang Dato’ Hassan Mohamood (PAS-Tawang) selepas persidangan Dun berhenti rehat pagi tadi. Hassan berkata, usul tersebut memohon Guang Eng membuat penjelasan sebenar berhubung perkara itu. Katanya, kenyataan Menteri Kewangan royalti 2020 dibayar awal pada September tahun ini begitu mengelirukan.

“Sedangkan Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob menjelaskan wang royalti belum diterima,” ujarnya ketika membentang usul tersebut.

Ketika menyokong usul tersebut Dato’ Md Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas) berkata, sepatutnya Menteri Kewangan seorang lulusan akauntan luar negara tidak bertukar antara wang ihsan dan royalti.

Katanya, kenyataan itu juga membuatkan rakyat Kelantan keliru. “Rakyat keliru siapa yang sebenarnya berbohong Menteri Kewangan atau Menteri Besar yang berbohong,” ujarnya. Speaker Dun Kelantan Dato’ Abdullah Ya’kub menganggap usul menepati syarat ditetapkan. Usul terbabit dilulus dengan sokongan ahli-ahli dewan. – HARAKAHDAILY 15/10/2019