LTTE: PAS gesa kerajaan bentang Kertas Putih

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa pihaknya bersetuju menggesa kerajaan membentangkan Kertas Putih berhubung kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) di Malaysia.

Advertisement

Ia susulan penangkapan tujuh individu yang disyaki terlibat dengan kumpulan itu termasuk dua wakil rakyat DAP, iaitu Exco Negeri Melaka yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gadek, G Saminathan dan Adun Seremban Jaya, P Gunasekaran.

“Kita (PAS) telah mengeluarkan kenyataan bersetuju, Setiausaha Agung telah mengeluarkan kenyataan menggesa kerajaan membentangkan kertas putih,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi parlimen hari ini.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyuddin Hassan telah mengeluarkan kenyataan bahawa PAS memandang serius insiden penangkapan beberapa individu berprofil tinggi yang disyaki terlibat dengan aktiviti yang menyokong fahaman pelampau LTTE di Malaysia, seperti diumumkan polis.

Berikutan kes tersebut satu perkara berkepentingan awam, PAS mendesak kerajaan membentangkan Kertas Putih di Parlimen mengenai penyebaran ideologi, rangkaian organisasi dan kegiatan pihak yang disyaki terlibat dengan LTTE di Malaysia, yang turut dikaitkan dengan beberapa pemimpin politik tempatan. – HARAKAHDAILY 15/10/2019