Majlis munajat ikat Muslimat-Wanita Tambun

TAMBUN: Muslimat PAS dan Wanita Umno Zon Perpaduan telah mengadakan majlis bacaan Yaasiin dan Munajat AKIFI di Markas PAS Taman Hiburan, di sini kelmarin.

Advertisement

Program julung kali diadakan ini melibatkan enam PAS Cawangan iaitu Batu 5, Batu 6, Taman Perpaduan, Taman Hiburan, Bercham Raya dan Pekan Tambun.

Pengerusi Lajnah Tarbiyah Muslimat PAS Kawasan Tambun, Ustazah Noraishah Rahim telah mengetuai bacaan Yaasiin dan Munajat AKIFI pada majlis ini.

Turut hadir Ketua Muslimat PAS Tambun, Yusmaliza Yusof serta Ahli Jawatankuasa Wanita Umno Bahagian Tambun, Azizah Abd Aziz bagi menyertai majlis ini.

“Program munajat akifi seperti ini hendaklah terus menerus dilaksanakan bagi memastikan akidah dan kebergantungan kita kepada Allah sentiasa bertaut kuat,” ujarnya.

Beliau juga berharap agar Muslimat PAS dan Wanita Umno dapat mengukuhkan Penyatuan Ummah ini dan mempergiat aktiviti yang dilakukan secara bersama agar ianya kukuh hingga ke akar umbi.

Dalam pada itu seluruh peserta yang hadir bertemakan baju putih turut menyertai sesi tazkirah oleh Pengerusi Lajnah Pendidikan Muslimat PAS Tambun, Ustazah Zaidah Radzi.

Ustazah Zaidah di dalam tazkirahnya menekankan kepentingan menjalinkan hubungan baik antara Muslimat PAS dan Wanita Umno tanpa menghiraukan sengketa lama.

“Apa yang kita laksakan hari ini, persis sirah Nabi Muhammad S.A.W yang telah menyatupadukan dua kaum yang bertelagah iaitu Aus dan Khazraj serta Muhajirin dan Ansar sehingga mereka bersaudara.

“Pendekatan yang diambil oleh Presiden PAS ini merupakan ruang berharga untuk kita garap demi memastikan kelangsungan ukhwah sesama Islam yang selama ini dipisahkan kerana fahaman politik,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 15/10/2019