Memang betul royalti tidak dibayar

marzuk

KUALA LUMPUR: Kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengenai Kelantan telah menerima bayaran royalti petroleum adalah kenyataan bohong, tegas Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Ahmad Marzuk Shaary.

Advertisement

“Semalam dia (Guan Eng) sebut di luar dewan (parlimen) bahawa apa yang telah kita bangkitkan (bayaran royalti) di dalam dewan itu adalah fitnah tetapi bila kita buat semakan dengan negeri, memang betul royalti tidak dibayar.

“Apa yang dibayar ialah wang ehsan, tiga kali bayar wang ehsan, ini tidak ada kaitan dengan arahan Perdana Menteri tetapi dalam ucapan dia semalam mengatakan telah menerima arahan daripada Perdana Menteri.

“Kerana bayaran wang ehsan ini adalah bayaran sambungan kepada apa yang dibuat oleh kerajaan sebelum ini. Jadi pada saya kenyataan di luar dewan itu sengaja dibuat,” kata Ahmad Marzuk.

Tambahnya Guan Eng sengaja membuat kenyataan luar daripada perbahasan parlimen untuk melepaskan diri daripada peraturan mesyuarat 36(12) iaitu peraturan yang menghalang anggota parlimen mengeluarkan kenyataan mengelirukan parlimen.

Semalam Ahli Parlimen Bagan, Guan Eng mendakwa bahawa beliau telah menandatangani pembayaran royalti petroleum kepada Kelantan atas arahan Perdana Menteri dan membuat semakan dengan pejabatnya bahawa bayaran telah dibuat.

Katanya, pembayaran yang sepatutnya diterima pada bulan Januari tahun hadapan juga telah diawalkan.

Guan Eng membuat kenyataan sedemikian ketika ditanya wartawan di lobi parlimen namun tindakan kenyataannya itu disanggah oleh Ahmad Marzuk hari ini sebelum sesi perbahasan dimulakan pada tengah hari tadi.

Ahmad Marzuk bangkit menegaskan Guan Eng berbohong dengan kenyataannya di lobi parlimen semalam dan meminta Speaker membuat “ruling” supaya menentukan tindakan yang boleh diambil terhadap Guan Eng yang mengeluarkan kenyataan mengelirukan.

“Jikalau itu dikatakan fitnah kenapa dia tak gunakan peraturan mesyuarat 36(6), itu yang saya bangkitkan tadi. Gunakanlah peraturan 36(6)untuk saya,” katanya ditemui Harakahdaily di lobi parlimen hari ini.

Walau bagaimanapun, Yang Dipertua Speaker Dewan Rakyat, Dato’ Mohamad Ariff Md Yusof memutuskan hujahan tersebut di luar bidang kuasa dewan kerana kenyataan itu dibuat di luar sidang parlimen.

Hari ini, sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan membuat usul dukacita dan sebulat suara bersetuju bahawa kenyataan Menteri Kewangan semalam adalah tidak benar.-HARAKAHDAILY 15/10/2019