PAS Perak siap siaga hadapi pilihan raya

    TELUK INTAN: Jabatan Pilihan Raya PAS Negeri Perak telah mengorak langkah bersiap sedia menghadapi kemungkinan pilihan raya pada bila-bila masa menerusi pertemuan anggotanya di KOMPASTI, Kampung Padang Tembak, di sini kelmarin dahulu.

    Advertisement

    Himpunan Zon Empat ini melibatkan kehadiran seramai 200 petugas pilihan raya dari enam PAS Kawasan iaitu Pasir Salak, Bagan Datuk,  Lumut,  Tapah dan Tanjung Malim serta Teluk Intan sebagai tuan rumah.

    Pengarah Pilihan Raya PAS Perak, Mustafa Abdul Wahab mengingatkan bahawa gerak kerja pilihan raya bukan tugasan bermusim, tetapi perlu dijalankan secara berterusan kerana pilihanraya akan berlaku bila-bila masa tanpa dijangka.

    “Ahli PAS jangan rasa selesa dengan termeterainya Muafakat Nasional kerana pihak lawan akan mengatur pelbagai strategi bagi mengekalkan kemenangan mereka pada PRU15 nanti,” ujarnya lagi.

    Setiausaha Jabatan Pilihan Raya PAS Perak, Salehudin Ahmad pula menegaskan, segala aktiviti mestilah menjurus kepada peningkatan kefahaman pengundi terhadap kepimpinan Islam dan membawa kepada perubahan persepsi masyarakat terhadap PAS.

    Program turut diisi dengan panduan tugasan buat Jentera Pilihan Raya Muslimat oleh Pengarah HalWa Jentera Pilihan Raya PAS Perak, Hamizah Hamidun dengan arahan memperkemaskinikan organisasi HalWa di kawasan.

    Beliau juga menyeru untuk menggiatkan aktiviti kemasyarakatan secara berfokus agar gerak kerja lebih berkesan dalam usaha meraih sokongan pengundi wanita.

    Manakala Pengarah Pilihan Raya Dewan Pemuda, Norhafizul  Badrul Hisham pula dalam slotnya menyeru petugas Pemuda menguasai IT dan media sosial kerana saluran ini lebih efektif untuk menyalur maklumat kepada golongan pengundi muda.

    Petugas pilihan raya yang hadir turut dihadamkan dengan taklimat Projeksi PRU15 dan Teknik Culaan yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah Pilihan Raya PAS Perak, Zainol Ismail.

    Majlis turut dihadiri oleh Timbalan Yang Dipertua PAS Teluk Intan, Rostam Malik dan barisan kepimpinan Pemuda, Muslimat serta Ulamak. – HARAKAHDAILY 15/10/2019