Petani Seberang Perak luah himpitan hidup

    TELUK INTAN: Adun Gunung Semanggol, Razman Zakaria telah menghadiri program Dialog Bersama Petani yang diadakan di pekarangan Kedai Cokceh Kampung Sungai Kerang, di sini kelmarin.

    Advertisement

    Program ini turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Pasir Salak, Dato’ Tajuddin Abd Rahman sebagai panel bertujuan mendengar sendiri rintihan dan permasalahan petani khususnya di sekitar Seberang Perak.

    “Antara permasalahan yang dihadapi oleh petani di kawasan tersebut adalah bekalan benih padi bersubsidi yang tidak mencukupi. Petani terpaksa mendapatkan bekalan yang dijual dengan harga jauh lebih tinggi berbanding benih bersubsidi.

    “Selain Itu, masalah penjadualan air yang tertunda juga menyebabkan kerugian pada mereka kerana kelewatan tersebut menyebabkan penanaman padi sebanyak dua kali setahun tidak dapat dilakukan,” ujar Razman.

    Turut dibangkitkan adalah isu insentif bantuan kepada petani sebanyak RM600 semusim, insentif traktor RM40 per ekar dan insentif galakan kenaikan padi yang dihentikan oleh pihak kerajaan.

    Perkara tersebut keluh petani, mengakibatkan kehidupan mereka semakin terhimpit ditambah dengan permasalahan yang berlaku memaksa penduduk untuk mencari solusi lain.

    “Saya dan Dato’ Tajuddin akan membawa hal ini kepada pihak berwajib bagi menyelesaikan permasalahan berbangkit demi kesejahteraan rakyat,” ujarnya yang juga Pesuruhjaya PAS Perak.

    Program diakhiri dengan sesi penyerahan memorandum oleh wakil penduduk Mohd Ashar Ibrahim kepada kedua-dua ahli panel untuk disuarakan di peringkat Dun dan Parlimen. – HARAKAHDAILY 15/10/2019