Royalti: Guan Eng tak perlu berbohong

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan bukan membayar royalti petroleum tetapi wang ehsan yang disalurkan kepada Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK).

Advertisement

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Ustaz Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man berkata dakwaan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di lobi parlimen semalam adalah kenyataan mengelirukan rakyat.

“PAS mendesak kerajaan kembali kepada peraturan dan perjanjian, ia mesti dibayar dalam bentuk royalti dan Lim Guan Eng tak perlu berbohong.

“Kita ada data dan maklumat semua bahawa yang dibayar itu bukan dalam bentuk royalti tetapi bentuk wang ehsan, wang ehsan kita tidak anggap sebagai royalti.

“Kita dah buat semakan, tak betul bila dia mengatakan kita tak buat semakan kita dah buat semakan dia yang tidak betul, dia hanya lihat balik kepada pembayaran wang ehsan,” katanya ketika ditemui Harakahdaily di lobi parlimen hari ini.

Berikut adalah jumlah wang ehsan diterima MAIK sejak tahun 2016 (RM10 juta), 2017 (RM25,787,511.50) , 2018 (RM14 juta), 2019 (RM11,280,000).

Tambah Tuan Ibrahim, Kerajaan Kelantan juga telah menegaskan sehingga setakat ini belum menerima sebarang bayaran royalti yang telah dipersetujui sebanyak 5 peratus itu.

“Kita menganggap bahawa kenyataan menteri itu tidak betul dan kita mendesak supaya kerajaan pusat mesti balik kepada perjanjian asal, bayaran mesti dibuat dalam bentuk royalti lima peratus sebagaimana yang dipersetujui,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 15/10/2019