Royalti: Lim Guan Eng kelirukan rakyat

KOTA BHARU: Menteri Kewangan Lim Guan Eng dianggap cuba mengelirukan rakyat apabila mendakwa telah membayar royalti kepada Kelantan. Sedangkan bayaran sebanyak RM15.7 juta itu bukan royalti yang dituntut kerajaan negeri seperti terkandung dalam perjanjian pada 1974.

Advertisement

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, kenyataan Menteri Kewangan semalam begitu mengelirukan. Katanya, jauh berbeza antara wang ihsan dan royalti yang dituntut kerajaan negeri. “Kita kena faham antara dua istilah itu yang jauh berbeza. Wang ihsan maknanya kalau hendak bagi tak apa dan kalau tak nak bagi pun boleh,” katanya ketika menjawab soalan Wan Hassan Wan Ibrahim (PAS-Semerak) pada persidangan Dun Kelantan hari ini.

Semalam Guan Eng dilapor memberitahu beliau menandatangani pembayaran itu atas arahan perdana menteri. “Dan saya telah semak dengan pejabat saya dan mereka kata pembayaran telah dibuat. Sebenarnya pembayaran dibuat pada Januari 2020 tetapi telah diawalkan,” katanya di lobi Dewan Rakyat semalam. Menteri Kewangan juga berkata, beliau berharap jangan beri kenyataan yang tidak benar dan tidak ikut fakta.

Ketika menjawab soalan tambahan Helmi Abdullah (PAS-Guchil) menteri besar berkata, berdasar semakan Unit Perancangan Ekonomi Kelantan pada 2017 sepatutnya royalti yang dibayar kerajaan pusat berjumlah RM1.3 bilion. – HARAKAHDAILY 15/10/2019