Bila debat ‘dicerobohi’ Liberalisme dan nomalisasi LGBT

DEWAN Pemuda PAS Malaysia (DPPM) bersetuju dengan pendirian Kementerian Pendidikan Malaysia supaya dikenakan tindakan tatatertib yang tegas kepada kedua-dua Juri Pertandingan Debat Piala Tun Abdul Razak kategori Bahasa Inggeris. Tema yang dipilih sama sekali tidak menghormati norma, bahkan mencabar sensitiviti masyarakat Muslim di negara ini sekali gus dilihat usaha menanam jarum Liberalisme dan menormalisasi LGBT.

Seni perdebatan merupakan salah satu kemahiran yang mampu mengasah minda pelbagai lapisan masyarakat khususnya dalam kalangan murid dan pelajar di seluruh Malaysia. Melalui perdebatan, murid dan pelajar mampu diuji untuk berfikir secara mandiri, mempunyai prinsip yang tegas dan jitu serta mampu mengeluarkan hujah yang menggambarkan ketajaman fikiran mereka.

Namun begitu, perdebatan yang cuba ditonjolkan melalui pemilihan tajuk yang langsung tidak mengendahkan norma masyarakat majoriti Muslim di Malaysia seperti yang berlaku dalam Pertandingan Debat Piala Tun Abdul Razak kategori Bahasa Inggeris ini mencerminkan cara fikir yang didasari pemikiran-pemikiran janggal, asing dan langsung tidak bertepatan dengan fitrah. Fenomena penyebaran ‘pasca-kebenaran’, menyeru sekalian manusia untuk terus mempermainkan aspek-aspek teras akidah, khususnya bagi seorang Muslim yang mendasari kehidupannya setiap hari, adalah sangat dikesali.

Dalang di sebalik fenomena ini cuba untuk mengelirukan malah menyesatkan pelbagai lapisan masyarakat di bawah bayangan ‘perbincangan akademik’, ‘hypothetical motion’ dan lain-lain terma yang bernuansa ‘neutral’ supaya akhirnya tiada satu perkarapun menjadi mutlak meskipun terhadap akidah seorang Muslim terhadap Rabb sekalian alam.

Kenyataan maaf mereka setelah diteliti penuh dengan satira dan sandiwara yang jelas menunjukkan mereka sememangnya mempunyai agenda Liberalisme. Ini tidak dapat disembunyikan lagi sehingga terzahir pada pemilihan tajuk dengan memberikan respon yang sinis kepada pihak yang mempertikaikan tindakan mereka. Mereka tidak ikhlas mengeluarkan permohonan maaf tersebut. Justeru pihak penganjur perlu bertanggungjawab, permohonan maaf sahaja tidak memadai dan perlu kepada tindakan yang lebih tegas.

DPPM menegaskan Malaysia tidak memerlukan figura-figura keliru mempengaruhi penuntut-penuntut ilmu dengan tidak mengembalikan pencerahan ilmu yang diperolehi daripada Pencipta, Rabbul Alamin. Sekadar petah berbicara dan berfalsafah semata, tetapi tidak dapat tunduk kepada kehendak Tuhannya bukanlah ciri-ciri penuntut yang cemerlang untuk dijadikan kebanggaan di dunia apatah lagi mengharapkan kebahagiaan di Akhirat.

DPPM menegaskan sekali lagi, bahawa kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba untuk mempermainkan kedudukan dan kemuliaan Islam dalam apa bentuk sekalipun.

Seni perdebatan dianjurkan oleh Allah sebagai satu kaedah dakwah bertujuan untuk menyeru manusia ke jalan Allah sebagaimana dijelaskan di dalam ayat Al-Qur’an berikut:

(ٱدۡعُ إِلَىٰ سَبِیلِ رَبِّكَ بِٱلۡحِكۡمَةِ وَٱلۡمَوۡعِظَةِ ٱلۡحَسَنَةِۖ وَجَـٰدِلۡهُم بِٱلَّتِی هِیَ أَحۡسَنُۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعۡلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِیلِهِۦ وَهُوَ أَعۡلَمُ بِٱلۡمُهۡتَدِینَ)
(An-Nahl: 125)

Advertisement


Namun, kami mendapati pihak penganjur yang berkenaan mengambil kesempatan menjadikan medan perdebatan sebagai jarum halus  menjadikan pelajar seawal umur remaja belasan tahun sebagai sasaran untuk disuntik fahaman yang jelas bertentangan dengan aqidah Islam.

DPPM juga mengambil kesempatan ini mengucapkan tahniah kepada pendebat-pendebat Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Kajang kerana berdiam diri (kami menanggapi sebagai menarik diri) dari menyokong tajuk Islam tidak menghalang homoseksual dalam Pertandingan Pertandingan Debat Piala Tun Razak tersebut. Anda adalah juara yang sebenar!

MUKHTAR SUHAILI
Ketua Sektor Pendidikan,
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM)

16 Oktober 2019 | 17 Safar 1441H HARAKAHDAILY 16/10/2019