Guan Eng wajib henti wayang

SATU surat oleh Kementerian Kewangan Malaysia pada pertengahan September 2019 yang ditujukan kepada Kelantan menggunakan tajuk yang amat jelas iaitu ”Penyaluran Wang Ehsan Negeri Kelantan (WENK) Tahun 2019”.

Dalam surat ini difahamkan bahawa Kerajaan Persekutuan bersetuju menyalurkan Wang Ehsan Negeri Kelantan (WENK) kepada Kerajaan Negeri Kelantan sebanyak RM15,749,561.50 bagi menampung keperluan kewangan  Kerajaan Negeri untuk tahun 2019. Kerajaan Negeri juga diminta untuk mengemukakan laporan perbelanjaan dana ini untuk tindakan Kementerian Kewangan selanjutnya.

Ini jelas bahawa surat daripada Kementerian mengesahkan bayaran itu adalah Wang Ehsan semata-mata. Bahkan dalam keseluruhan isi surat berkenaan juga, tiada langsung disebut perkataan ‘petroleum’, ‘bayaran tunai’, ‘royalti’, ‘5 peratus’ ataupun perkataan ‘provisional cash payment‘.

Jadi bagaimana mungkin mahu dikaitkan satu bayaran yang disertakan dengan satu surat dan jelas tertera Wang Ehsan Negeri Kelantan (WENK) dengan royalti petroleum?

Tahukah kalian, penyokong PH bahawa WENK ini sudah wujud lama? Walaupun kononnya ‘dibongkar’ oleh seorang Aktivis Royalti bahawa Kelantan telah terima ‘Royalti’ sebanyak RM28 juta untuk 2019, tapi ianya tidak membawa maksud yang signifikan.

Mengikut rekod, WENK yang dibayar oleh Kerajaan Pusat kepada MAIK sejak tahun 2016 adalah seperti berikut;

Tahun 2016
Bayaran: Tarikh 16 Jun 2016
Jumlah: RM 10,000,000.00

Tahun 2017
Bayaran 1: Tarikh 18 Feb 2017
Jumlah: RM 10, 300,000.00
Bayaran 2: Tarikh 31 Julai 2017
Jumlah: RM 15, 487, 511.50

Tahun 2018
Bayaran:  Tarikh 6 April 2018
Jumlah: RM 14, 000,000.00

Tahun 2019
Bayaran: Tarikh 30 Mei 2019
Jumlah: RM 11, 280,000.00

Jumlah Keseluruhan WENK: RM 61, 067, 511.50 bagi tempoh empat tahun yang diterima oleh MAIK. Dalam tempoh ini juga sebahagian Wang Ehsan adalah diberi kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP). Namun setelah PRU14 pada 9 Mei 2018 lalu, JPP sudah tidak lagi wujud.

Lalu, pihak Kementerian Kewangan dengan dana serupa atas nama WENK yang digunapakai sejak zaman BN dahulu lagi, telah menukar pembayaran daripada JPP ke akaun Kerajaan Negeri Kelantan, bermula tahun ini. Justeru, kenapakah para penyokong Guan Eng di Kelantan khasnya yang sejak dahulu tidak mengiktiraf bayaran wang ehsan ini, tetapi kini berubah fikiran? Hal ini diakui oleh Azmin Ali sendiri semalam yang mengatakan pembayaran Wang Ehsan masih menggunapakai kaedah lama.

Apa maksud kaedah lama? Kaedah lama sejak 2016, bayaran WENK diberi kepada MAIK dan juga JPP. Bezanya kini JPP tidak wujud, maka WENK dibayar kepada MAIK (30 Mei 2019) dan kepada Kerajaan Negeri (bermula tahun 2019).

Jika mengikut perjanjian asal pada 9 Mei 1975 jelas disebut ‘Petronas’ hendaklah membayar wang tunai kepada Kerajaan. Dan jika hujah ini digunakan oleh penyokong PH, yang mengatakan Guan Eng telah bayar ‘royalti’ RM15 juta bulan lepas, kenapakah Kementerian Kewangan masih menyalurkan WENK juga kepada MAIK? Kenapa tidak disatukan semua wang ‘royalti’ itu kepada akaun Kerajaan Negeri? Jawapannya amat mudah, semua bayaran yang diterima, baik oleh MAIK ataupun JPP (dahulu) dan Kerajaan Negeri (bermula 2019) adalah Wang Ehsan. Tiada kaitan dengan royalti 5 peratus seperti Perjanjian 1975!

Puak penyokong PH mengatakan bahawa Kerajaan Persekutuan telah ‘bayar 5 peratus  secara wang tunai’ dan ini membuktikan bahawa royalti telah dibayar. Bagaimana mereka boleh sahkan bahawa bayaran yang diterima, baik yang sejumlah RM15 juta ataupun yang bernilai RM28 juta adalah mewakili 5 peratus seperti yang dijanjikan dalam Perjanjian Petronas-Kelantan tahun 1975?

Mereka menyuruh Kerajaan Kelantan menubuhkan Jawatankuasa Khas bagi mengkaji jumlah amaun, pengeluaran, medan telaga sebenar yang Kerajaan Kelantan patut dapat, sedangkan mereka sendiri mengatakan bayaran pada bulan September lalu adalah berjumlah 5 peratus. Soalannya, Jawatankuasa Khas mana yang digunapakai oleh puak PH sehingga dengan yakinnya menyebut ia adalah bayaran 5 peratus?

Dan sebenarnya lebih mudah jika Kementerian Kewangan memberikan butiran kepada Kelantan berapakah amaun yang diterima bagi royalti Kelantan oleh Petronas bagi setiap tahun. Petronas bayar 10 peratus iaitu 5 peratus untuk Persekutuan dan 5 peratus untuk Kelantan. Sudah pasti ada dokumen, surat, resit ataupun apa apa bukti rasmi pembayaran 10 peratus Petronas kepada Kerajaan Persekutuan ini. Tidak perlu jawatankuasa khas, hanya perlu kejujuran Guan Eng. Sebutkan sahaja jumlah dan buktinya.

Guan Eng juga sejak semalam mengatakan tidak mahu berbalah soal istilah sama ada ehsan atau royalti. Ya perkara ini telah lama jelas di pihak Kerajaan Negeri kerana kita menggunapakai tajuk surat yang digunakan oleh Kementerian Kewangan itu sendiri. Mereka menulis surat dengan tajuk Wang Ehsan maka Kelantan menerima pakainya sebagai Wang Ehsan. Itu asas dan tiada siapa yang cuba mempolitikkan soal istilah melainkan Guan Eng sendiri dengan disokong oleh ahli PH.

NAZMAN CHE IBERAHIM – HARAKAHDAILY 16/10/2019

Advertisement