MB terharu pengisytiharan Adun BN

KOTA BHARU: Menteri Besar merakamkan ucapan terima kasih di atas pengisytiharan Adun Kok Lanas Dato’ Md Alwi Che Ahmad tidak wujud lagi peranan Ketua Pembangkang di Dun Kelantan.

Advertisement

Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, beliau melahirkan perasaan lega dan terima kasih di atas kerjasama diberi wakil-wakil rakyat BN.

Bagaimanapun katanya, secara tersirat Adun BN sekarang masih sebagai pembangkang yang mesra kerajaan.

“Kita perlu sangat kepada teguran daripada sahabat-sahabat. Apabila ada apa-apa kekurangan, tidak tenteram ia perlu ditegur.

“Kita menerima teguran dengan berlapang dada. Mereka (Adun BN) boleh mencadang memberi pandangan atau nasihat secara membina.

“Semoga dengan keadaan ini dewan kita lebih bertambah baik. Peluang kerajaan berfikir dan memenuhi kehendak rakyat yang perlu diatasi,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan Kelantan 2020 pada persidangan Dun hari ini.

Semalam Md Alwi mengumumkan tidak wujud lagi peranan Ketua Pembangkang di Dun Kelantan.

Pada 14 September lepas PAS dan Umno menandatangani Piagam Muafakat Nasional bagi mempertahan dan menjunjungkan perlembagaan negara.

Sehingga sekarang hanya wujud seorang Adun Pakatan Harapan di Dun Kelantan iaitu Dato’ Seri Mustapa Mohamed (Bersatu-Air Lanas). – HARAKAHDAILY 16/10/2019