UMMAH gesa tindakan DAP pertahan LTTE disiasat

    BARU-baru ini negara kita digemparkan dengan berita penangkapan individu-individu yang terlibat dengan kumpulan pengganas LTTE termasuk 2 orang Adun dari DAP. Sebagaimana semua rakyat Malaysia telah maklum bahawa LTTE adalah kumpulan pejuang yang menuntut hak mereka melalui aktiviti keganasan dengan membunuh orang awam yang tidak bersalah, pendekatan perjuangan mereka lebih kepada kumpulan pemberontak yang mahu mewujudkan negara Tamil berasingan di Utara dan Timur Sri Lanka. Perkara ini telah disahkan oleh beberapa agensi keselamatan besar dunia seperti Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan Agensi Siasatan Persekutuan (CIA) Amerika Syarikat.

    Sehubungan dengan itu, UMMAH ingin menzahirkan beberapa perkara mengenai isu ini;

    1.      Ummah mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman atas tindakan tangkas menangkap beberapa individu yang terlibat dengan kumpulan pengganas LTTE ini.

    2.     UMMAH juga memandang serius akan masalah ini kerana gerombolan ini merupakan satu ancaman besar dan berbahaya terhadap keamanan dan kestabilan negara. Justeru UMMAH bersetuju dan menyokong tindakan pihak PDRM membenteraskannya dari awal sebelum ianya menjadi virus membiak dikalangan masyarakat jahil.


    3.     UMMAH ingin menggesa agar siasatan dan tangkapan ke atas individu-individu yang berani menyuarakan sokongan terhadap kumpulan pengganas LTTE serta mencabar pihak PDRM. Mereka ini harus ditahan dan disiasat seolah-olah mereka terlibat sama dan jelas mereka mencabar kedaulatan Undang-undang Negara Malaysia.

    4.     UMMAH juga berasa terkilan dan kesal apabila timbul kenyataan yang mempersoalkan tugas-tugas PDRM daripada beberapa pemimpin DAP dalam hal ini yang seharusnya membuat kenyataan sokongan moral kepada pihak PDRM sebaliknya mempertikaikannya padahal semua tahu pihak PDRM tidak akan bertindak tanpa bukti.

    5.      UMMAH mengutuk sekeras-kerasnya tindakan beberapa orang pemimpin DAP dilihat jelas telah menunjukkan sikap hipokrit dan ‘double standard’ mereka apabila mempertahankan 2 Adun DAP yang ditangkap baru-baru ini. Tindakan seperti melindungi individu-individu tersebut dan memberi mereka kedudukan tinggi di dalam DAP sangat bertentangan dengan prinsip ‘The Rule of Law’ yang dicanang oleh mereka sendiri.

    6.     UMMAH berharap agar pihak PDRM akan terus menjalankan siasatan terhadap kumpulan LTTE ini khususnya pemimpin-pemimpin DAP yang dilihat bersungguh-sungguh mempertahankan kumpulan pengganas tersebut kerana mereka ini amat licik dan bergerak secara terancang. Mereka ini perlu dibanteras agar keamanan dan kesejahteraan negara ini dapat dipelihara.

    Akhir sekali, UMMAH ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada pihak PDRM yang diketuai oleh Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador atas usaha menjaga keamanan negara ini. Di samping itu, UMMAH juga akan turut bersama-sama dengan pihak PDRM dalam usaha untuk menjaga keamanan negara ini daripada anasir-anasir jahat yang mengancam kedaulatan negara ini.

    HAJI AMINUDDIN YAHAYA
    Pengerusi Gerakan Pembela Ummah- UMMAH – HARAKAHDAILY 16/10/2019

    Advertisement