Belanjawan 2020 Kelantan tanpa royalti petroleum

RAKYAT Malaysia baru saja disajikan dengan pembentangan Belanjawan 2020 oleh Menteri Kewangan, YB Lim Guan Eng yang menimbulkan reaksi pelbagai.

Advertisement

Ramai berpendapat bahawa belanjawan ini sekadar meneruskan kerangka lama dan masih diragui keupayaan untuk menyelesaikan isu kos sara hidup yang meningkat dalam situasi pertumbuhan ekonomi yang perlahan.

Saya tidak mahu mengulas panjang tentang Bajet Kerajaan Persekutuan kerana Dewan Rakyat sedang berlangsung. Ahli Parlimen yang mewakili PAS seramai 18 orang mampu menyampaikan perbahasan yang berkualiti nanti.

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) ingin mengucapkan tahniah kepada Menteri Besar Kelantan, YAB Dato’ Bentara Kanan Ustaz Haji Ahmad bin Yakob yang telah membentangkan Belanjawan 2020 dengan peruntukan sejumlah RM1.1 bilion.

Tiga teras utama yang menjadi tonggak belanjawan ini ialah ‘Keberkatan, Kemakmuran dan Kebajikan’ cukup untuk memahami bahawa perancangan pembangunan fizikal mestilah seiring dengan aspek spiritual dan panduan agama sebagai tunjang.

Tindakan Menteri Besar Kelantan harus dipuji, kerana setiap kali belanjawan dibentang tidak pernah mengabaikan aspek utama seperti pencapaian ‘barakah’ dalam semua agenda, pemerkasaan pembangunan insan, kerancakan pembangunan ekonomi, pembelaan golongan daif dan kurang upaya serta pengukuhan institusi dan badan pelaksana.

Peruntukan pembangunan yang diumumkan ialah sejumlah RM309.51 juta iaitu peningkatan RM1.65 juta berbanding 2019. Peningkatan ini sebenarnya menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang menuduh Kerajaan Negeri Kelantan kononnya mengabaikan pembangunan prasarana dan kemudahan kepada rakyatnya.

Kenyataan negatif ini seolah ingin memberi gambaran buruk terhadap Kelantan terutama kepada pelabur.

Sejumlah 25.6 peratus iaitu RM192.04 juta telah diperuntukkan untuk menjalankan agenda keagamaan, pendidikan dan pembangunan insan. Ini menunjukkan bahawa Kelantan serius untuk membangunkan modal insan yang berpendidikan dan berpaksikan agama.

Ia sekali gus meningkatkan tahap integriti dengan mengekalkan Kelantan bebas rasuah sejak 1990.

Antara pencapaian lain yang harus dibanggakan apabila Kelantan berjaya mencatat perbelanjaan sebenar yang surplus pada 2018 dengan RM40.4 juta, jumlah yang meningkat berbanding RM38.2 juta pada 2017.

Anggaran hasil juga meningkat pada 2020 dengan angka RM748.71 juta. Jumlah ini saban tahun meningkat berbanding RM530.82 juta pada tahun 2015. Kelantan komited untuk meningkatkan hasil setiap tahun bagi menampung bajet mereka dan menambah baik hasil sedia ada.

Namun, PAS melahirkan rasa kecewa dengan pendirian Menteri Kewangan yang masih berdolak dalik tentang pembayaran royalti.

Kenyataan terbaru daripada Kementerian Kewangan menyatakan telah membayar RM15.75 juta pada 18 September 2019 adalah merupakan Wang Ehsan dan bukannya wang royalti minyak dan gas. Ia menjadikan jumlah keseluruhan wang ehsan diterima Kelantan berjumlah RM28.37 juta sahaja tahun ini.

Jumlah ini jauh lebih rendah dengan anggaran royalti lebih RM1 bilion setahun.

Sewajarnya perkara ini diselesaikan dengan segera berdasarkan kenyataan rasmi Perdana Menteri Malaysia, YAB Tun Dr Mahathir Mohamad pada 7 Julai 2018 untuk memansuhkan program wang ehsan dan akan mengagihkan royalti petroleum kepada Kelantan dan Terengganu.

Ia juga bertepatan dengan semangat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) untuk meningkatkan taraf hidup Bumiputera yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri.

‘Islam Memimpin Perpaduan’
‘Muafakat Nasional, Membina Malaysia Sejahtera’

KAMARUZAMAN MOHAMAD
Ketua Penerangan Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
17 Oktober 2019 | 18 Safar 1441 – HARAKAHDAILY 17/10/2019