Bowling Piala PJ Melaka jaya Bulan Sukan Negara

    AYER KEROH: Jabatan Seni, Budaya dan Sukan (DACS) Negeri Melaka telah menganjurkan Pertandingan Bowling Piala Pesuruhjaya PAS Melaka di Melaka International Bowling Centre, di sini semalam.

    Advertisement

    Seramai 108 peserta daripada seluruh negeri Melaka termasuk  25 orang peserta jemputan daripada Pemuda Umno Melaka telah memeriahkan penyertaan penganjuran julung kali ini.

    Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Kamarudin Sidek hadir menyempurnakan perasmian penutup dan menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

    Beliau dalam ucapannya menasihati para Pemuda, agar sentiasa beriadah disamping menjadikan badan sihat, juga mengeratkan ukhuwah tanpa mengira perbezaan keturunan, umur, dialek, bahasa dan budaya.

    “Dalam sesuatu pertandingan, bukan hanya mengejar kemenangan tetapi melalui aktiviti sukan dapat memupuk semangat kerjasama dan perpaduan di kalangan masyarakat umumnya,” kata beliau lagi.

    Ustaz Kamarudin turut mengingatkan agar para Pemuda tidak leka dan mestilah sentiasa cakna isu semasa yang berlaku di sekeliling termasuklah berkaitan Belanjawan 2020.

    Sementara itu, Pengarah DACS Melaka, Mohd Zulfadli Salleh berkata, pertandingan tersebut akan diadakan setiap tahun bersempena Bulan Sukan Negara 2019.

    Ianya bertujuan untuk membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat. Turut hadir menjayakan program, Timbalan Ketua Pemuda PAS Negeri Melaka, Ustaz Abu Naufal Samsuddin. – HARAKAHDAILY 16/10/2019