LKS jangan ‘buli’ pentadbiran universiti!

TINDAKAN pemimpin DAP Lim Kit Siang yang meminta Naib Canselor Universiti Malaya, Datuk Ir. Abdul Rahim Hashim menarik balik laporan polis yang dibuat oleh universiti terhadap Wong Yan Ke berhubung tindakan biadapnya melakukan protes ketika Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya kali ke-59 adalah keterlaluan. Hal ini kerana, ahli politik tidak sepatutnya menjadi pihak yang menekan pentadbiran universiti dalam sebarang tindakan yang diambil, seolah-olah mengganggu autonomi universiti.

Pihak kami sekali lagi menyatakan, bahawa tindakan yang dilakukan oleh pihak universiti adalah wajar. Hal ini demikian kerana, tindakan Wong Yan Ke bukan sekadar mencemar Istiadat Konvokesyen malah menyebabkan graduan lain terpalit dengan isu ini dan secara tidak langsung memburukkan nama Universiti Malaya.

Apa yang menimbulkan persoalan adalah, apakah perkaitan Mantan  Pengerusi University of Malaya Association of New Youth (UMANY) dengan Lim Kit Siang sehingga tindakan beliau mendapat perhatian dan sokongan daripada Ahli Parlimen DAP itu. Bahkan hal ini turut dizahirkan oleh kenyataan media 19 pimpinan DAPSY yang mengecam laporan polis yang dibuat oleh Universiti Malaya terhadap Wong Yan Ke.

Neo-Siswa Universiti Malaya ingin menegaskan, Lim Kit Siang jangan ganggu urusan pentadbiran universiti supaya perkara ini segera diselesaikan.

MOHAMAD ILMAN HAKIM ZAINAL ABIDIN
Pengerusi Neo-Siswa Universiti Malaya – HARAKAHDAILY 17/10/2019

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

Advertisement