Pulau Pinang tuan rumah PTA2019

KUALA LUMPUR: Perkhemahan Tahunan Amal (PTA2019), Jabatan Amal Malaysia (AMAL) akan dilangsungkan di Kem White Resort, Balik Pulau pada 25 hingga 27 Oktober ini.

Advertisement

AMAL Pulau Pinang selaku tuan rumah kali ini telah bersiap sedia menerima lebih 600 peserta dari seluruh pelusuk tanah air untuk sama-sama menjayakan pelbagai aktiviti pada PTA2019.

Timbalan Ketua Pengarah AMAL, Zukri Ahmad yang juga Pengarah PTA2019 berkata, PTA merupakan medan untuk seluruh anggota berukhuwah dan saling berkongsi pendapat serta kemahiran.

Jelasnya, penerapan yang diterima adalah untuk memantapkan lagi kesiapsiagaan menghadapi sebarang arahan daripada pucuk pimpinan bagi menjayakan matlamat perjuangan PAS.

Menurut beliau, konsep PTA pada kali ini menggunakan pendekatan rejimental iaitu semua peserta tidak lagi mewakili negeri, tetapi diolah dan dikumpulkan secara rawak mengikut ‘kompeni’.

“Tujuannya adalah satu, iaitu bagi mengeratkan sesama peserta untuk saling melengkapi. Diharapkan dengan kumpulan terdiri daripada negeri dan latar belakang berbeza ini dapat mewujudkan iklim persaudaraan yang baik dan akhirnya diterjemahkan dalam tugasan kritikal di peringkat nasional pada masa akan datang.

“Lebih menarik lagi, kami telah mendapat perkhabaran daripada Ketua Pemuda PAS Malaysia (bahawa) semua Exco akan hadir berkampung di Balik Pulau sepanjang PTA2019 berlangsung.

“Sehubungan dengan itu, saya menyeru kepada semua pimpinan pemuda PAS disemua peringkat untuk sama-sama memasang azam untuk hadir memeriahkan lagi PTA pada tahun ini,” ujarnya.

Beliau juga memaklumkan PTA akan dimeriahkan dengan acara pertandingan serta banyak aktiviti, sekali gus penganjurannya memerlukan sokongan dalam banyak aspek lain.

Sehubungan itu, katanya Jabatan Amal Malaysia masih memerlukan sumbangan bagi melancarkan gerak kerja persiapan PTA2019.

Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Bank Islam Jabatan Amal Malaysia 1401401033669 atau hubungi di talian 0103594409. – HARAKAHDAILY 17/10/2019