Royalti RM1 bilion, wang ihsan RM28 juta

KOTA BHARU: Pemimpin Parti Amanah Negara (PAN) ternyata terperangkap terhadap isu tuntutan royalti apabila gagal membezakan antara bayaran royalti dan wang ihsan.

Advertisement

Lebih mengaibkan lagi sebelum wujud PAN, mereka antara pemimpin terkehadapan memperjuangkan tuntutan royalti sehingga turut mengasaskan NGO Royalti.

Setiausaha Politik Menteri Besar, Mohd Asri Mat Daud berkata, berdasar anggaran dibuat Unit Perancang Ekonomi Negeri Kelantan (UPEN) pada 2016 royalti yang patut dibayar sebanyak RM681 juta.

Dan pada 2017 meningkat kepada RM1.03 bilion dan 2018 sebanyak RM1.106 bilion.

Katanya, jumlah royalti tersebut berdasar 5 peratus pengeluaran minyak di perairan Kelantan.

Sedangkan menurut beliau wang ihsan yang diterima diterima kerajaan negeri pada 21 Februari, 26 Mac dan 18 September lepas berjumlah RM28.37 juta.

“Sekiranya mengambil jumlah wang ihsan yang disalurkan sebanyak tiga kali tahun ini sangat tidak menunjukkan ia adalah wang tunai royalti.

“Pihak yang menuduh Menteri Besar Kelantan berbohong sebenarnya keliru atau sengaja menyembunyikan maklumat sebenar dalam perkara ini,” katanya di sini.

Isnin lepas Menteri Kewangan Lim Guan Eng mendakwa kerajaan pusat sudah membayar royalti petroleum kepada Kelantan.

Malah Naib Presiden PAN, Dato’ Husam Musa pula dilapor menyebut kerajaan persekutuan tidak mengamalkan diksriminasi dalam pembayaran royalti kepada Kelantan. – HARAKAHDAILY 17/10/2019