Tanpa royalti: Kelantan tetap bayar bonus

KOTA BHARU: Biarpun bayaran royalti petroleum yang tertunggak lebih RM1 bilion belum dijelaskan, namun kebajikan penjawat awam negeri tidak diabaikan.

Advertisement

Semalam, Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob mengumumkan kakitangan awam negeri mendapat insentif sebanyak RM500.

“Saya ingin memaklumkan kerajaan negeri akan memberikan insentif sebanyak RM500 kepada penjawat awam,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan Kelantan 2020 pada persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan (Dun).

Kerajaan persekutuan pada Jumaat lepas mengumumkan kakitangan awam gred 56 ke bawah mendapat bantuan khas kewangan sebanyak RM500.

Selain itu, pesara kerajaan turut mendapat bantuan khas kewangan RM250.

Seorang kakitangan di Kota Darulnaim berkata, beliau merakam ucapan terima kasih di atas keprihatinan kerajaan negeri biarpun berdepan kekangan kewangan.

Kata beliau, tanpa royalti yang menjadi hak Kelantan, kerajaan negeri tetap mengambil kira kebajikan penjawat awam. – HARAKAHDAILY 17/10/2019