Perjumpaan PAS, Umno kini lebih bermakna

KUALA KEDAH: Majlis Mahabbah Penyatuan Ummah antara PAS dan Umno Kawasan Kuala Kedah berlangsung penuh ukhuwah siraturahim.

Advertisement

Majlis yang diadakan di Dewan Al-Amin, Telok Bagan, petang tadi dimulakan dengan memperkenalkan ahli jawatan kuasa oleh setiap ketua entiti kedua-dua parti.

Yang Dipertua PAS kawasan, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi dalam ucapannya mengharapkan pertemuan dan perkenalan itu menjadi titik tolak kebersamaan sehingga PRU15 untuk meraih kemenangan mengalahkan Pakatan Harapan.

Katanya lagi, walaupun pertemuan itu bukanlah kali pertama diadakan namun itulah perjumpaan yang melibatkan semua entiti di dalam majlis yang sama.

“Saya mengharap kita semua dapat berkenalan dengan lebih dekat lagi antara satu sama lain walaupun ada di antara kita mungkin tinggal sekampung, berjiran atau sebagainya namun perjumpaan ini lebih bermakna iaitu dalam suasana PAS dan Umno sudah tidak lagi menjadi musuh politik,” tegas beliau. Turut hadir ialah Timbalan Ketua Umno Bahagian Kuala Kedah, Dr Zaki Zamani Abd Rashid.

Sehubungan itu, ujarnya kerja kuat kedua-dua parti perlu ditingkatkan untuk berusaha meraih kemenangan pada PRU akan datang lantaran Pakatan Harapan khususnya DAP tidak boleh lagi diharapkan untuk menjaga hak orang Melayu Islam di Malaysia ini.

Lantaran pelbagai insiden yang mencabar kesabaran umat Islam selain cuma mencemar kedaulatan tanah air, seolah-olah sengaja dilakukan, Pakatan Harapan bukanlah lagi wadah pemerintah yang mampu menyelamatkan Malaysia.

“Semoga tautan ukhuwah ini akan menghasilkan natijah terbaik untuk masa depan umat Islam seterusnya mencapai Malaysia Sejahtera yang diinginkan,” kata beliau lagi. – HARAKAHDAILY 18/10/2019