Royalti: Menteri Kewangan bohong secara sedar

SAYA sebenarnya ingin menyebut fakta-fakta ini di dalam ucapan saya kelmarin di Dewan Rakyat, namun menyedari bahawa masa yang diperuntukkan hanya 15 minit untuk melontarkan semua isu berkaitan Belanjawan 2020, saya mengenepikan dulu hasrat itu.

Justeru, saya perturunkan di sini beberapa kronologi jawapan kerajaan di Dewan Rakyat yang membuktikan bahawa wang yang telah disalurkan kepada Kerajaan Negeri bermula awal tahun ini (atau lebih tepatnya bermula 21 Februari 2019) bukannya wang royalti minyak tetapi Wang Ehsan, dan perkiraan berhubung royalti minyak masih belum muktamad.

Dalam pada itu mari kita lihat soalan-soalan berkaitan dengan royalti minyak Kelantan yang diajukan di Dewan Rakyat pada tahun ini.

Pada 14 Mac 2019 (Khamis), Ahli Parlimen Rantau Panjang Puan Hajah Siti Zailah Binti Mohd Yusoff telah mengajukan soalan di Dewan Rakyat di mana soalannya berbunyi, Minta Menteri Hal Ehwal Ekonomi menyatakan bilakah wang royalti minyak akan dibayar kepada Negeri Kelantan sepertimana yang dijanjikan dalam Manifesto PH.

Jawapan yang diberikan oleh Kementerian Hal Ehwal Ekonomi ialah seperti berikut:

“1.     Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kerajaan Negeri Kelantan telah mengemukakan saman terhadap Petroliam Nasional Berhad (Petronas) berhubung tuntutan royalti minyak di Mahkamah Tinggi pada 2011. Walau bagaimanapun, pada Oktober 2018 Kerajaan Negeri telah menyatakan hasrat untuk menarik balik saman tersebut.

“2.     Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA) menyambut baik hasrat Kerajaan Negeri Kelantan tersebut. YAB Perdana Menteri juga telah menyatakan persetujuan agar pembayaran royalti minyak terus kepada Kerajaan Negeri Kelantan. Kerajaan Persekutuan akan membayar royalti minyak kepada Kelantan selepas urusan berkaitan prosiding penarikan balik saman terhadap Petronas dan Kerajaan selesai. “

Jawapan di atas sekali gus menunjukkan bahawa wang yang disalurkan bermula 12 Februari 2019 itu bukannya wang royalti tetapi Wang Ehsan sebagaimana termaktub di dalam surat iringan daripada Kementerian Kewangan. Manakala wang royalti akan dibayar apabila urusan prosiding penarikan balik saman terhadap Petronas dan kerajaan selesai.

Seterusnya pada 1 Julai 2019, saya selaku Ahli Parlimen Pasir Mas telah mengajukan soalan di Dewan Rakyat yang berbunyi, Minta Menteri Hal Ehwal Ekonomi menyatakan status pembayaran royalti minyak kepada Kerajaan Negeri Kelantan seperti yang telah dijanjikan setelah Kerajaan Kelantan secara rasmi menarik balik saman yang telah difailkan ke atas Petronas dan Kerajaan Persekutuan pula sebagai pencelah sekali gus sebagai defendan kedua sebelum ini.

Jawapan yang diberikan kepada saya pada masa itu ialah seperti berikut :

“1.     Sepertimana Ahli Yang Berhormat sedia maklum, Kerajaan Negeri Kelantan telah mengemukakan saman terhadap Kerajaan Persekutuan berhubung tuntutan bayaran tunai atau royalti minyak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2010.

“2.     Merujuk kepada maklumat yang dilaporkan oleh media massa mengenai penarikan balik saman Kerajaan Negeri Kelantan, buat masa ini Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA) masih menunggu keputusan secara bertulis daripada Jabatan Peguam Negara (AGC). “

Jawapan ini menunjukkan sedikit kemajuan berbanding jawapan pertama di mana MEA sedang menunggu keputusan bertulis secara bertulis daripada pihak AGC berhubung penarikan balik saman oleh Kerajaan Negeri Kelantan sebelum membuat bayaran royalti minyak sebagaimana yang dijanjikan. Pada masa yang sama, Wang Ehsan untuk peringkat kedua telah diberikan kepada Kerajaan Kelantan pada 26 Mac 2019 (sebagaimana kenyataan akhbar Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan).

Seterusnya pada 16 Julai 2019, Ahli Parlimen Kubang Kerian, Ustaz Dato Tuan Ibrahim Tuan Man pula mengajukan soalan yang berbunyi, Minta Menteri Hal Ehwal Ekonomi menyatakan apakah langkah penyelesaian berkenaan isu pembayaran royalti minyak negeri Kelantan dan bilakah janji Manifesto PH tersebut akan ditunaikan.

Ini bahagian paling menarik di mana Kementerian Hal Ehwal Ekonomi di dalam jawapannya menyebut sebagaimana berikut :

“1.    Sepertimana Ahli Yang Berhormat sedia maklum, Kerajaan Negeri Kelantan telah mengemukakan saman terhadap Kerajaan Persekutuan berhubung tuntutan bayaran tunai atau royalti minyak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2010.

“2.     Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri Kelantan secara rasminya telah menarik balik kes tuntutan pembayaran tunai atau royalti minyak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke atas Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan Kerajaan Persekutuan Malaysia pada 27 Jun 2019 lalu.

“3.     Susulan penarikan balik saman oleh Kerajaan Kelantan terhadap Kerajaan Persekutuan, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA) telah menerima satu Notis Pemberhentian Kes secara rasmi daripada pihak Jabatan Peguam Negara (AGC) melalui Penasihat Undang-undang MEA pada 5 Julai 2019.

“4.     Langkah Kerajaan Kelantan menarik balik tuntutan saman terhadap Kerajaan Persekutuan dan Petronas berhubung isu royalti diyakini dapat membuka ruang dan memperkukuhkan semangat Federalisme. Pembayaran royalti tersebut akan dibuat oleh Kerajaan Pusat apabila semua proses selesai.”

Di sinilah bahagian yang sedang ditutup oleh Menteri Kewangan dalam isu royalti minyak ini. Dalam pada Wang Ehsan telah disalurkan sehingga September 2019 kepada Kerajaan Negeri yang berjumlah RM28.37 juta, ia tetap bukan merupakan royalti minyak sebagaimana yang ditegaskan berulang kali oleh Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Jika ia sebenarnya merupakan royalti minyak, apa faedahnya Kementerian Hal Ehwal Ekonomi daripada awal lagi menegaskabaha wang royalti minyak akan dibayar apabila urusan prosiding penarikan saman oleh Kerajaan Negeri terhadap Petronas selesai?

Dan akhirnya Guan Eng sendiri akhirnya terpaksa mengaku dan mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa wang yang disalurkan itu ialah Wang Ehsan namun masih berbelit-belit bahkan mengungkit pula soal yang lain antaranya ialah pernah meluluskan RM91.5 juta pada tahun 2018 untuk membayar gaji kakitangan Kerajaan Negeri Kelantan (padahal dalam jawapannya kepada saya awal tahun ini, Kelantan hanya menerima RM22.5 juta).

Justeru, saya fikir sebenarnya Menteri Kewangan kita ini sedang mengalami sindrom gangguan ingatan yang hebat ataupun beliau memang pembohong yang boleh tegar menipu walaupun mengetahui penipuannya telah diketahui umum. Barangkali lebih baik lantik Ahli Parlimen Jelutong menggantikan tempatnya sebagai Menteri Kewangan.

Adapun cerita seorang bekas Exco Kerajaan Negeri Kelantan yang dulunya pusing satu Malaysia menuntut royalti minyak untuk Kelantan dan hari ini meminta Kelantan berpuas hati dengan wang ehsan, saya fikir lebih baik Datuk ini menjaga partinya yang sedang berantakan di seluruh negara. Datuk pun tiada harga nilai di mata kerajaan PH dan hanya diberikan jawatan atas dasar simpati, apatah lagi di mata rakyat Kelantan.

YB USTAZ AHMAD FADHLI SHAARI
Ahli Parlimen Pasir Mas – HARAKAHDAILY 18/10/2019

Advertisement