Segi empat LTTE, DAP, Israel dan Amerika

SRI Lanka dan sejarah Tamil 

Advertisement

Hari ini kita dikejutkan dengan penangkapan beberapa kepimpinan DAP yang dikaitkan dengan LTTE. Walaupun hakikatnya tulisan ini agak terlambat disebabkan masa yang diambil untuk memahami isu ini secara berwaspada, namun ia masih segar dengan perancangan ‘mereka’ yang masih berjalan. LTTE merupakan singkatan bagi Pembebasan Harimau Tamil Eelam yang dikatakan muncul pada 1975, namun bergerak lebih agresif pada akhir 80-an.

Sebelum pergi lebih jauh, kita perlu fahami susur galur sejarahnya. Sri Langka yang merupakan tempat kelahiran LTTE, melalui liku hidup yang panjang dikatakan lebih 2000 tahun dahulu, diperintah dengan sistem beraja. Etnik terawal yang mendiami pulau tersebut ialah etnik Aetto, juga dikenali sebagai orang Veddah. Hari ini mereka adalah kelompok minoriti, berbanding dengan Sinhala dan Tamil original.

Di pulau tersebut ada juga etnik Moor yang dikatakan berasal daripada pedagang-pedagang Arab. Ada juga etnik kecil seperti orang Burgher yang berketurunan kacukan Eropah, dan Melayu yang datang dari Asia Tenggara. Kepelbagaian etnik ini sepatutnya boleh mewujudkan tamadun yang hebat, akan tetapi ‘dimanipulasi’ oleh tangan-tangan ghaib sehingga menyebabkan negara kecil itu kucar-kacir dalam tempoh yang panjang.

Etnik Sinhala dan Tamil original (Tamil Sri Lanka) boleh dikatakan sebagai majoriti. Namun, sejak penjajahan British, mereka membawa masuk Tamil India ke pulau tersebut sehingga hampir sama bilangan mereka dengan etnik Tamil Sri Lanka. Dikatakan sebahagian daripada Tamil India ini dihantar pulang ke negara asal era kemerdekaan Sri Lanka 1948.

Sri Lanka ketika Mode Imperialism Barat 

Secara geografinya, Sri Lanka adalah sebuah pulau yang agak strategik untuk laluan laut. Dari segi sejarahnya, ia pernah menjadi tempat persinggahan pedagang-pedagang terdahulu, apatah lagi ‘celah’ di antara Sri Lanka dan India merupakan tempat strategik. Sudah pasti ia menjadi perhatian tangan ghaib. Antaranya pada Perang Dunia Kedua ia dijadikan pangkalan utama bagi Tentera Berikat untuk menentang Jepun.

Pada Kurun ke-16, di awal era Reinassance dan Imperialism Barat menyaksikan bagaimana Sri Lanka dimasuki oleh Portugal dan Belanda. Manakala sejak kemunculan Pax Britannica 1815 pulau mutiara itu berada di bawah penguasaan Britain. Semua ini disebabkan lokasinya yang strategik. Selaras dengan Perang Dunia Pertama yang melibatkan Uthmaniah, Sri Lanka turut sama mengalami tempiasnya.

Orang-orang Sri Lanka bangkit untuk membebaskan tanah air mereka daripada terus dijajah. ‘Mode’ ini bukan hanya di Sri Lanka, bahkan di kebanyakan kawasan Asia Tenggara termasuk Tanah Melayu. Mereka menuntut kemerdekaan daripada cengkaman British yang kerjanya ‘mengabdikan penduduk di situ, untuk dapatkan hasil bumi mereka, dan disalurkan untuk kepentingan Barat.

Sepertimana yang diceritakan tadi, British mengambil kesempatan untuk membawa masuk migran dari India (Tamil India atau Tamil Nadu) beramai ramai dengan alasan sebagai buruh dan pekerja di Estate. Alasan yang sama penjajah membawa masuk China dan India di Tanah Melayu. Walhal strategi yang sama, iaitu untuk mewujudkan konflik jangka masa panjang.

Kemerdekaan Sri Lanka dan kemunculan LTTE 

Kemerdekaan India pada 1945, mendorong kepada tuntutan kemerdekaan Sri Lanka oleh kelompok Ceylon (nama lama Sri Lanka). Kemerdekaan diberikan kepada Sri Lanka pada 1948, dan pemerintahan diserahkan kepada Parti Bersatu Kebangsaan dengan mengekalkan bahasa penjajah sebagai bahasa rasmi. Pada 1949 Illankai Tamil Arasu Kachchi (ITAK) diasaskan, yang dilihat membawa muqaddimah konflik perkauman.

Pada pilihan raya 1959, Parti Bersatu Kebangsaan (UNP) dikalahkan oleh Parti Kebebasan  Sri Lanka, dan melantik Solomon Bandaranaike sebagai Perdana Menteri. Kemenangan tersebut mula mendapat perhatian ‘tangan-tangan ghaib’ untuk mencetuskan pergolakan dalaman. Antara yang perubahan yang dibuat oleh Bandaranaike ialah mengubah bahasa rasmi daripada Bahasa Inggeris kepada Bahasa Sinhala yang merupakan bangsa majoriti di kepulauan Sri Lanka.

Perubahan akta ini dijadikan alasan untuk ‘tangan ghaib’ membakar sentimen yang lebih teruk, yang lebih mensasarkan kelompok Tamil. Sentimen Sinhala-Tamil mula dibakar. Akhirnya Bandaranaike dibunuh pada 1959 dan tahun berikutnya Parti Bersatu Kebangsaan menang semula. Begitulah persaingan antara dua parti tersebut.

Pada 1972, ditubuhkan Parti Tamil United Liberation Front (TULF) yang dilihat menyegarkan lagi konflik perkauman, di samping meransang ke arah militan. Pada 1975 ditubuhkan LTTE Liberation Tigers of Tamil Eelam, sebagai jelmaan kepada ransangan tersebut. Tahun berikutnya, ITAK menyertai pakatan TULF. Pada tahun yang sama, Parti Kebebasan dijatuhkan dan kemenangan berpihak kepada UNP, menjadikan TULF sebagai pakatan terkuat.

Keganasan LTTE dan tangan ghaib 

Selain memainkan isu rasuah, isu diskriminasi dan sebagainya hingga menyebabkan kejatuhan Parti Kebebasan, mereka turut membakar sentimen perkauman. LTTE yang muncul sebagai ‘pengganas’ di tengah-tengah kancah politik itu menimbulkan suasana kritikal apabila mereka bukan sahaja berkempen ke arah keganasan, tetapi turut membunuh beberapa pimpinan negara, termasuk Ahli Parlimen Tamil sendiri pada 1977.

Kelompok Tamil mendiami kawasan Utara dan Timur Sri Lanka ini mula ‘memperjuangkan kebebasan’ mereka daripada Kerajaan Sri Lanka membentuk Tamil Eelam. Entah sejak bila mereka ditindas. Kerajaan Sri Lanka mengambil pendekatan memerangi golongan ini untuk mengekang keganasan mereka. Namun, apa yang pelik, kelengkapan persenjataan mereka jelas menunjukkan mereka ‘tidak bersendirian’.

Pasti ada ‘tangan ghaib’ yang mendanai mereka sehingga mempunyai kelengkapan persenjataan yang luar biasa. Tindakan Sri Lanka mengekang kumpulan ini sedikit sebanyak memberi saham simpati buat LTTE, menjadikan pengaruhnya semakin meluas. LTTE dengan bekalan senjata yang dibawa masuk, mula menyemarakkan lagi konflik. Sejak 1983 hingga 2008 lebih 70,000 orang telah terkorban dalam isu keganasan LTTE.

Keganasan LTTE berakhir pada 2009 apabila pengasas LTTE  telah terbunuh dibidik sniper dan mereka menyerah kalah. Mereka bukan sahaja memiliki kelengkapan senjata yang pasti didanai oleh tangan ghaib, mereka juga melatih pengganas secara khusus. Kewujudan LTTE ini dilihat seperti sengaja tidak dibendung, seolah-olah dibiarkan melarat. Tidak dinafikan ada campur tangan PBB khususnya pada 2009, namun dilihat sebagai terlalu lembab.

LTTE yang mendapat latihan Mossad

Sepertimana yang saya ceritakan sejak awal tadi bahawa konflik di Sri Lanka terdapat penglibatan tangan ghaib. Siapakah mereka? Pada 1991 di tengah-tengah kemuncak keganasan LTTE, Victor Ostrovsky bekas perisik Mossad mengakui bahawa mereka telah melatih dan mengkaderkan orang-orang Tamil dan Sinhala antara 1984-85 dan proses ini berterusan ketika itu.

Beliau mengakui bahawa ia adalah tugasan rutin Mossad saban hari untuk melatih geng-geng Tamil dan Sinhala. Latihan tersebut hasil perjanjian dengan seseorang individu warga British yang duduk di India. Katanya, “kita akan latih berdasarkan apa yang mereka bayar, kalau geng Sinhala mereka akan bayar cash“. Jelas di sini Mossad telah melatih kedua dua Tamil dan Sinhala untuk saling berkonflik di Sri Lanka.

Katanya lagi, seawal konflik di Sri Lanka Mossad telah mendekati beberapa pimpinan India yang berada dalam Research And Analysis Wing (RAW). Beliau mengatakan lagi pada 1984, kumpulan kecil ini mula memproses penghantaran geng Tamil untuk dilatih di Israel. Tamil yang di train dihantar untuk menganggotai LTTE. Ini apa yang telah dinyatakan olehnya.

Berdasarkan zahir pengakuan ini menunjukkan bahawa LTTE itu sendiri dilatih oleh Mossad. Mossad seolah-olah tidak rasa bersalah dengan pengakuan tersebut kerana ‘mereka melatih sesiapa sahaja, asalkan ada duitnya’. Bagaimana pula dengan pendanaan senjata? Walaupun dikatakan senjata-senjata itu didanai oleh pihak yang bersimpati terhadap LTTE, namun kita perlu melihat sejauh mana logiknya.

LTTE memiliki helikopter, jet kecil, bot laju dan banyak lagi, menunjukkan sukar dipercayai ia ‘hanya’ didanai oleh individu-individu yang simpati. Melainkan ada satu kuasa besar yang mampu mensedekahkan segala kelengkapan senjata-senjata ini. Walaupun LTTE telah menyerah kalah, jangan disangka mereka berhenti beroperasi. Operasi diteruskan secara senyap, dan pada 2014, LTTE digariskan oleh Amerika sebagai pengganas.

Segi tiga DAP, LTTE dan Israel 

Umum mengetahui beberapa pimpinan DAP didapati ada kaitan dengan LTTE. Bagaimana DAP dengan Israel pula? Berdasarkan pendedahan Bekas Pegawai Khas Lim Guan Eng, Mohamed Razali Abdul Rahman tentang hubungan DAP dengan Israel sehingga kini masih lagi tiada tindakan undang-undang ke atasnya. Beliau mendedahkan bahawa DAP menerima USD300 Juta daripada Israel era PRU13.

Antara yang lain, beliau mengatakan bahawa seramai 17 pimpinan DAP menerima latihan khusus daripada Israel. Hari ini apabila timbul isu hubung kait antara LTTE dan Mossad (Israel), dan juga hubung kait DAP antara Israel, menguatkan lagi dakwaan bahawa DAP ada hubungan belakang tabir dengan LTTE. Tidak dapat dipastikan sama ada DAP membiarkan LTTE itu menyorok dalam parti tersebut ataupun memang DAP ‘membela’ LTTE di dalam parti mereka.

Walau bagaimanapun, PAS memberi sepenuh kepercayaan kepada PDRM untuk melaksanakan tugasannya. Cuma apa yang menarik perhatian ialah hubungan DAP dan Israel, dan kaitan dengan Singapura. Mohamed Razali Abdul Rahman juga ada menyebutkan janji Lim Guan Eng sekiranya Putrajaya berjaya mereka tawan, mereka akan serahkan Port Dickson sebagai ‘base’ tentera Israel yang baru.

Setelah mana PH menang PRU14 pada Mei 2018, Anwar Ibrahim keluar penjara dan memilih untuk bertanding di Parlimen Port Dickson yang dijadualkan pada Oktober 2018. 15 September 2018, Saifuddin PKR menyatakan bahawa Anwar sendiri yang memilih Port Dickson untuk bertanding. Adakah Anwar memilih bertanding di Port Dickson itu satu kebetulan atau memang terancang?

Amerika dan proksi-proksi di Malaysia

Pada 1983, Amerika telah menubuhkan NED. NED ialah singkatan bagi National Endowment For Democracy yang ditubuhkan oleh Amerika untuk campur tangan politik negara-negara lain secara ‘legal’. Website NED dengan selambanya berterus terang menyenaraikan proksi-proksi mereka berserta nilai duit yang telah disalurkan. Antara dapatan pada 2015, NED mengaku telah mendanai IRF (Islamic Reinassance Front) dengan USD60,000, Merdeka Centre USD60,000 dan KiniTV USD35,000.

Senarai tadi apa yang diisytiharkan oleh mereka dengan selambanya. Bagaimana pula dengan proksi yang tidak diisytiharkan? Pada 1998 Anwar dijatuhkan daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Setahun kemudian, muncul Malaysiakini yang merupakan media yang dilihat ‘lawan kerajaan’. Malaysiakini diasaskan oleh Premesh Chandran, bekas wartawan akhbar The Sun dan Stevan Gan yang pernah bekerja dengan akhbar The Nation, di Bangkok.

Pada akhir 2017, Malaysiakini telah membuat pengakuan menerima dana daripada Open Society Foundation’ (OSF) milik Yahudi (George Soros). Bahkan pada Julai 2018 pasca PRU14, dalam satu forum yang diadakan di CSIS, wakil International Republican Insitute (IRI) dengan bangganya menceritakan bahawa mereka menyalur dana NED kepada pembangkang sejak 2002 lagi untuk menjatuhkan kerajaan.

Apa yang terjadi di Sri Langka tentang penglibatan tangan ghaib sehingga melahirkan pengganas LTTE? Pimpinan DAP di Malaysia pula ada yang berkaitan dengan LTTE. Pendedahan demi pendedahan hubung kait DAP-LTTE serra kuasa-kuasa luar seperti Israel dan Amerika perlu diberi perhatian sewajarnya, dikaji dan diteliti. Semoga Allah S.W.T memelihara negara ini. – HARAKAHDAILY 18/10/2019 

PENAFIAN:
HarakahDaily  tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily  mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.