Kalah kampus tua kepada desakan DAP

KUALA LUMPUR: Universiti Malaya (UM) hari ini mengumumkan pihak universiti tidak menahan atau menarik balik ijazah dan transkrip akademik Wong Yan Ke yang berkelakuan biadab di pentas istiadat konvokesyen UM, pada 14 Oktober lepas.

Advertisement

Malah aktivis mhasiswa itu dimaklumkan boleh mengambil transkrip akademik dan ijazahnya pada bila-bila masa bermula 18 Oktober.

Bekas aktivis mahasiswa dan juga graduan UM, Dr Riduan Mohamad Nor meluahkan rasa kesal dan kecewa dengan keputusan pentadbiran UM kerana tidak berani mengambil tindakan terhadap aktivis mahasiswa biadab itu.

“Sebagai graduan kampus tua ini saya merasa malu dan tertampar, menarik nafas panjang. Kalah akhirnya kampus tua bukan nyanyuk ini kepada desakan DAP dan talibarut mereka.

“Walaupun 100, 000 rakyat negara ini menandatangani petisyen sokongan supaya tindakan tegas diambil terhadap Yan Ke. Pasca kejadian memalukan itu, Yan Ke terus mencabar dan meremehkan Naib Canselor UM,” katanya.

Ujarnya, keputusan ini menggambarkan kelemahan pentadbiran UM yang seolah tunduk kepada anak didik DAP itu sekali gus mengangkatnya sebagai wira walaupun bersikap biadab di dalam majlis istiadat rasmi UM.

Berkongsi pengalaman sewaktu menjadi aktivis mahasiswa suatu ketika dulu kata Riduan, rakan baiknya dilarang menyertai konvokesyen UM atas kesalahan menyertai bantahan konsert maksiat di Padang UIA yang terletak di Petaling Jaya.

“Kami membantah satu konsert di Padang UIA Petaling Jaya, kolaborasi teman-teman aktivis UIA dan UM, kami menyerbu pentas utama konsert.

“Saya antara dalang demonstrasi tersebut ‘terlepas’ kerana saya berjaya memboloskan diri daripada kepungan pihak keselamatan pada malam kejadian.

“Sahabat baik saya itu yang ditahan pihak keselamatan bahkan dibicarakan di mahkamah pentadbiran kampus.

“Beliau menerima hukuman tak dibenarkan menyertai konvokesyen pada tahun tersebut, malah dianjakkan masa untuk mengambil transkrip.

“Anak kedah itu akhirnya menyambung ijazah master di bumi Urdun dan kini menjadi tokoh penting di sebuah kampus tempatan,” ceritanya.

Katanya, ironisnya nasib Yan Ke tidak sama dan secerah graduan UITM, Muhammad Hasrul Haris Mohd Radzi yang pernah digantung diplomanya selama dua tahun atas kesalahan berswafoto di atas pentas konvokesyen sekitar tahun 2015.

Perbuatan Muhammad Hasrul waktu itu dianggap sebagai tidak menghormati etika ketika majlis konvokesyen UITM.

Waktu itu katanya, tiada pemimpin Melayu dan Muslim yang melalak dan bertekuk lutut mempertahankan Haris kerana mereka semua memahami etika dan peraturan kampus.

“Itulah membezakan kita dengan bangsa DAP, tak faham lagi?” tegasnya. – HARAKAHDAILY 19/10/2019