Tidak harus beri hutang kepada fakir, miskin

GOMBAK: Hutang tidak harus diberikan kepada golongan fakir dan miskin kerana ia boleh membawa permusuhan sesama manusia, sebaliknya kepada golongan ini Islam memerintahkan supaya mereka diberi bantuan dan pertolongan.

Advertisement

Ketua Ulamak PAS Pusat, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, golongan fakir dan miskin mesti dikeluarkan daripada kemiskinan mereka menerusi pemberian bantuan oleh golongan kaya sebagaimana dituntut Islam.

Sedangkan perbuatan memberi hutang kepada golongan ini menurutnya, akan menyebabkan mereka terdorong memusuhi golongan kaya sekiranya tidak berupaya membayar hutang yang diberikan.

Perkara tersebut dihurai beliau ketika menyampai ucap utama pada perasmian Seminar Ekonomi Ummah anjuran Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), di sini pagi tadi.

Selain itu jelas beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Puteh, golongan kaya selaku pemberi hutang pula akan merasa marah disebabkan penghutang dalam kalangan fakir dan miskin itu tidak melunaskan hutang mereka.

“Situasi ini akhirnya akan mencetuskan permusuhan sehingga berlaku ketidakharmonian dalam masyarakat. Sedangkan keberkatan ekonomi dalam sesebuah negara turut disumbangkan oleh doa golongan fakir dan miskin.

“Juga kuasa beli dan peluang ekonomi yang ada pada golongan ini melalui bantuan yang diberikan. Di dalam Islam, kemakmuran ekonomi bukan dijana oleh hutang, tetapi dijana oleh saling tolong-menolong sesama manusia,” terang beliau. – HARAKAHDAILY 19/10/2019