China dan persaingan kuasa besar

PENGARUH China di Asia Tenggara

Pengaruh China dilihat semakin membesar di kawasan Asia Tenggara. Antaranya mereka mula melibatkan diri dalam perancangan Jokowi untuk memindahkan pusat pemerintahan (ibu negara) Indonesia daripada Jakarta ke Kalimantan. Kawasan yang terbabit untuk pembinaan ibu kota baru yang akan terbina di kawasan seluas 180,000 hektar itu mula timbul beberapa bulan lepas oleh Jokowi sendiri.

Beberapa faktor perpindahan tersebut disuarakan sendiri oleh beliau, antaranya faktor tsunami dan gunung berapi. Gabenor Kalimantan Timur, Isran Noor, mengatakan bahawa Indonesia terbuka untuk pelabur asing termasuk dari Beijing, untuk membantu membangun infrastruktur di situ yang dikatakan bernilai USD33 Billion. Bahkan di dalam kenyataannya seolah-olah mereka berharap dengan pelaburan China.

Kawasan yang terbabit untuk dibangunkan sebagai ibu kota ialah Kabupaten Penajam Paser Utara dan Kabupaten Kutai Kartanegara, Kalimantan Timur. Dalam masa yang sama, pengaruh China di Malaysia juga dilihat seiringan dengan perkembangan di Indonesia. Khususnya sejak pemerintahan PH sejak Mei 2018.

Antara yang paling membimbangkan apabila Kerajaan Malaysia telah bersetuju menurunkan harga lantai bagi warga asing untuk memiliki hartanah di Malaysia sebanyak RM600, 000 daripada RM1 juta. Alasan bodoh yang diberikan ialah kerana rumah mewah tidak laku. Jelas bahawa mereka lebih nak menguntungkan pemaju sehingga ‘tiada masalah’ untuk memberi ruang kepada warga asing antaranya China, untuk membeli hartanah di Malaysia.

Penguasaan ekonomi peringkat antarabangsa

China dilihat sedang menuju ke arah pembentukan empayar Pax Sinica dalam jangka masa yang panjang. Asia Tenggara mesti dijadikan tapak awal untuk ke arah itu. Justeru pengaruh terhadap Indonesia dan Malaysia khususnya mungkin menjadi pemangkin kepada keberhasilan masa depan. Antara yang boleh dilihat ialah kemunculan China dengan gagasannya yang dikenali sebagai BRI pada 2013.

Jaringan ekonomi yang dinamakan Inisiatif Belt dan Road (BRI) digagaskan oleh China pada 2013 adalah laluan darat untuk jalan raya dan pengangkutan kereta api yang dibina merentasi 5 benua, Asia, Afrika, Asia Barat, Eropah dan Amerika [Gambar]. Jaringan laluan darat ini untuk membina sebuah pasaran besar yang bersatu dan memanfaatkan sepenuhnya pasaran antarabangsa dan domestik, melalui pertukaran budaya dan integrasi.

Bertujuan meningkatkan persefahaman dan ‘kepercayaan bersama’ daripada negara-negara yang terlibat. Ia juga bagi mengurangkan jurang infrastruktur untuk mempercepatkan pertumbuhan ekonomi, atau dengan bahasa mudah, ia dilihat membesarkan lagi medan tempur ekonomi (battlefield). Projek ini disasarkan tamat pada  2049 , yang bertepatan dengan ulang tahun ke-100 Republik China.

BRI yang menghubungkan Timur dan Barat, ditambah dengan jaringan laluan laut yang luas, menunjukkan betapa kesungguhan mereka untuk mewujudkan persaingan antarabangsa. Bentuk perang ekonomi mereka, mungkin kita dapat ‘study’ melalui realiti battlefield di Malaysia apabila mereka mengamalkan sistem kapitalis yang memonopoli banyak laluan, selain daripada pengaruh politik setempat.

BRI dan perangkap hutang (Debt Trap)

Sekitar bulan April 2019, timbul isu perangkap hutang dalam projek BRI yang digagaskan oleh China sejak 2013 ini. Beberapa penulisan dan kajian mendedahkan hal tersebut meminta supaya berwaspada dengan projek ini. Beberapa pengalaman diambil daripada projek-projek China di negara-negara lain, yang telah mengheret ke kancah hutang, antaranya projek kereta api laju.

Projek Thai-sino di Thailand contohnya, merupakan projek kerjasama dengan China yang dilihat menjadi perangkap hutang. Hal perangkap hutang (debt trap) ini telah disiarkan di dalam kajian Center For Strategic And International Studies (CSIS) yang berpangkalan di Washington D.C hasil tulisan Dylan Gerstel yang bertajuk “It’s a (Debt) Trap! Managing China-IMF Cooperation Across the Belt and Road”.

Walaupun pada Januari 2019 Amerika telah mengingatkan hal tersebut, namun International Monetary Fund (IMF) yang berpangkalan di Amerika dan ditubuhkan sejak 1944 juga mengamalkan hal yang sama ‘debt trap’. Ya, masing-masing takut dengan perangkap hutang, tetapi masing-masing mengamalkannya. IMF dikatakan berperanan untuk memastikan projek BRI China ini berlaku dengan penuh ketelusan.

Walhal mereka sendiri tak boleh dipercayai dalam bab ini. Projek BRI yang dilihat membawa kepada masa depan ekonomi dunia yang hebat, tetapi tidak dapat dipastikan sama ada ia adalah plan China menguasai ekonomi dunia atau sengaja nak wujudkan jaringan perangkap hutang peringkat antarabangsa.

Turki, Syria dan Kurdistan Raya

Beberapa bulan lepas, Turki telah membuat tindakan menyerang sempadan Syria-Turki atas ‘alasan lapik’ iaitu kuasa dunia berdiam diri dan tidak boleh diharap. Erdogan menyifatkan beliau sudah lama bersabar dalam hal itu sehingga migran Syria sudah mencecah 2 juta orang di dalam Turki. Dalam masa yang sama kita sedar bahawa lambakan orang Syria di bumi Turki menjadi bahan untuk mengurangkan pengaruh Erdogan.

Setelah beberapa siri peperangan antara Turki dan Syrian Democratic Forces (SDF) menyaksikan bagaimana mereka terpaksa berundur sehingga 35 km daripada sempadan Turki-Syria. Dari sudut ini saya melihat Turki boleh meraih pengaruh politik sebagai pembela isu kemanusiaan apatah lagi di saat dunia memejam mata isu Syria. PKK dan YPG kedua duanya adalah pertubuhan ketenteraan dalam isu sempadan ini, dan masing-masing berada di bawah SDF yang dikatakan ditaja oleh Amerika.

Kumpulan Kurdis Syria (PKK) dianggap sebagai teroris bangkit atas matlamat menubuhkan Kurdistan Raya [1], manakala cabangnya YPG tidak dilabel sedemikian. Sebab? Tidak diketahui. Mereka berpusing-pusing antara SDF, YPG dan PKK. Sebelum ini, Amerika telah membuat keputusan untuk mengeluarkan tentera mereka dari sempadan Syria menyebab berlakunya bantahan daripada Barat kerana mereka menganggap tidak sepatutnya geng Kurdistan dibiarkan berperang sendirian dengan Turki.

Tindakan Erdogan dan penarikan Tentera Amerika ini selepas pertemuan Donald Trump dan Erdogan. Seolah-olah sudah wujudnya persefahaman antara kedua-dua pihak. Dalam masa yang sama kita perlu tahu bahawa plan New Middle East ke arah mewujudkan Negara Kurdistan Raya. Pengukuhan geng Kurdi di celah-celah sempadan Turki dan Syria ini hakikatnya ditentang oleh kedua-dua negara ini.

Rusia dan China di Asia Barat

Sejak dari penarikan semula tentera Amerika daripada sempadan Turki-Syria, muncul pula Rusia untuk mengisi kekosongan di rantau tersebut. Antara Julai hingga Oktober, Presiden Rusia telah melontarkan hasrat kepada PBB untuk mewujudkan sistem kawalan keselamatan di Timur Tengah. Antara cadangannya ialah menarik kuasa-kuasa lain untuk turut sama dalam kawalan keselamatan ini selain daripada Eropah.

Ya, tidak dinafikan, Putin mengambil pendekatan paling harmoni dengan menjaga hubungan baik dengan semua pihak untuk menjaga geopolitiknya. Manakala China pula lebih tertumpu pada kawasan Teluk, UAE dan lain-lain untuk menjaga bekalan minyak. China kelihatan berhati-hati dan menampakkan tidak berpihak kepada mana-mana untuk melawan sesiapa.

China telah menyuarakan keterbukaan mereka terhadap cadangan tersebut. Bahkan China mengambil keterbukaan dan keharmonian sedemikian untuk menjaga hubungan dan kepentingan dengan lapan negeri di rantau tersebut, termasuk Iran. Jurucakap Kementerian Luar Negeri China, Geng Shuang minggu lalu berkata bahawa mereka mengalu-alukan semua cadangan dan usaha diplomatik yang kondusif untuk mengatasi keadaan di rantau Teluk.

Gaya hubungan politik China ini dilihat selaras dengan projek BRI yang saya ceritakan tadi. Apatah lagi projek BRI ini membuka peluang yang besar bagi ekonomi Rusia dalam jangka masa panjang. Peluang yang ‘dibuka’ oleh Rusia untuk melibatkan China dalam geografi Asia Barat menjadikan China harus berwatak Mr Nice Man untuk memastikan rancangan mereka boleh berjalan dengan lebih smooth.

Yinon Plan, Israel Raya dan Divide and Rule

Untuk memastikan projek China terus berjalan, mereka harus ‘tidak bertembung’ dengan sesiapa, lebih-lebih lagi dengan Israel dan Amerika yang juga mempunyai plan yang besar terhadap Asia Barat. Mahdi Darius Nazemroaya dalam artikel Penyelidikan Global tahun 2011, menceritakan rancangan Yinon adalah kesinambungan reka bentuk kolonial Britain di Timur Tengah:

“Pelan Yinon adalah rancangan strategik Israel untuk memastikan kegemilangan rantau Israel. Beliau menegaskan dan menetapkan bahawa Israel mesti menyusun semula persekitaran geo-politiknya melalui pembasmian Negeri-negeri Arab di sekelilingnya kepada negara yang lebih kecil dan lemah (Divide And Rule)“.

“Strategi Israel melihat Iraq sebagai cabaran terbesar mereka dari Negara Arab. Inilah sebabnya mengapa Iraq digariskan sebagai pusat pemecahan Negara-negara Timur Tengah dan Dunia Arab. Di Iraq, berdasarkan konsep Pelan Yinon, ahli strategi Israel telah meminta pembahagian Iraq ke Negara Kurdi dan juga dua Negara Arab. Satu untuk umat Islam Syiah dan yang lain untuk Muslim Sunni. Langkah pertama ke arah mewujudkan ini adalah dengan cetuskan perang antara Iraq dan Iran, dengan rancangan Yinon”.

“The Atlantic, pada tahun 2008, dan Jurnal Angkatan Tentera AS, pada tahun 2006 menerbitkan peta lukisan yang luas yang mengikuti garis strategi Pelan Yinon. Selain daripada Iraq yang dikerat yang juga dipanggil Rancangan Biden, Yinon menyeru untuk membebaskan Lubnan, Mesir, dan Syria. Pemisahan Iran, Turki, Somalia, dan Pakistan juga semuanya selari dengan pandangan ini. Pelan Yinon juga menyeru pembubaran di Afrika Utara dan meramalkan ia bermula dari Mesir dan kemudian berjangkit ke Sudan, Libya, dan seluruh wilayahnya.”

“Israel Raya memerlukan kepada pemecahan Negara-negara Arab yang ada, kepada negeri-negeri kecil. Rancangan ini beroperasi pada dua premis penting. Untuk terus hidup, Israel mestilah menjadi kuasa serantau imperialis. Israel juga mesti mempengaruhi pembahagian seluruh kawasan menjadi negara-negara kecil dengan membubarkan semua Negara Arab yang ada. Kecil di sini akan bergantung kepada komposisi etnik atau sektarian setiap negeri.

Oleh itu, harapan Zionis adalah bahawa negara-negara berasaskan sektarian menjadi satelit bagi Israel dan, ironinya ia menjadi sumber legitimasi. Ini bukan idea yang baru, dan ia juga tidak muncul untuk pertama kali dalam pemikiran strategik Zionis. Malah, pemecahan semua Negara Arab ke dalam unit yang lebih kecil telah pun menjadi tema yang berulang-ulang.”

Persaingan Kuasa Besar dan penindasan

Israel dan Amerika dilihat menguasai udara atau perang maya melalui jaringan globalisasi sejak 1990-an [1]. Jaringan globalisasi Amerika dilihat menguasai minda sejajar dengan serangan idealogi yang dilakukan ratusan tahun. Mereka telah mencipta dunia tanpa sempadan geografi. Ini kerana keyakinan mereka bahawa ‘sesiapa yang menguasai komunikasi akan menguasai dunia’.

Manakala China dilihat mencuri peluang dengan membina penguasaan darat dan lautan melalui jaringan laluan BRI 2013. Sepertimana yang tercatat dalam sejarah juga, bagaimana teori ‘sesiapa yang menguasai ekonomi, akan menguasai dunia’ telah diaplikasikan dalam dunia penjajahan Imperialism. Apatah lagi sistem kapitalis masih dibela oleh kuasa besar dunia.

Pertempuran menguasai ekonomi walaupun sudah berlalu, namun ia mungkin dilihat peluang yang besar untuk China bangkit membina jaringannya. Hakikatnya IMF yang ditubuhkan oleh Amerika telah menguasai hal perekonomian ini lebih awal. Dunia terpaksa bergantung dengan USD. Mungkinkah akan ter‘pasing baton’ kepada China selepas ini?

Persaingan demi persaingan ke arah menguasai dunia. Dunia Islam dan rakyat tidak bersalah, terus menerus dan ditindas dan dizalimi. Mereka tidak mahir untuk berbicara mengenai BRI dan Debt Trap hasil rancangan kuasa kuasa besar. Melainkan mereka hanya mampu terkedu melihat tanah sendiri dijajah secara ‘legal’.

[1] https://www.facebook.com/251201991739948/posts/1209474262579378/

[2] https://www.facebook.com/251201991739948/posts/1206540146206123/ HARAKAHDAILY 20/10/2019

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

Advertisement